KUALA LUMPUR- Sejumlah 158 buah bas didapati tidak layak berada di jalan dan tidak dibenarkan beroperasi sehingga hari ini, menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.
Aedy Fadly berkata jumlah itu merangkumi 1,800 buah bas yang telah melakukan pelbagai kesalahan yang melibatkan kenderaan dan pemandu antaranya menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
“Kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan brek, kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan keselamatan, teknikal yang berkaitan dengan keselamatan jadi kita tidak akan benarkan bas itu membuat perjalanan.
“Kenderaan tersebut mestilah dibaiki terlebih dahulu oleh syarikat-syarikat bas tersebut sebelum memulakan perjalanan,” katanya dalan sidang media selepas meninjau Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri Tahun 2025 di Plaza Tol Sungai Besi arah selatan, pagi tadi.
Pihak JPJ jelas Aedy Fadly tidak berkompromi dengan mana-mana kenderaan perkhidmatan awam yang yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.
Dalam pada itu, sejumlah 22,552 notis saman dikeluarkan JPJ setakat lima hari Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri bermula 24 Mac lalu.
“Statistik tersebut adalah hasil daripada 77,736 kenderaan yang telah diperiksa dalam tempoh lima hari dijalankan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 97 kenderaan telah disita,” katanya lagi.
Daripada jumlah itu, sebanyak 9,381 kenderaan telah diambil tindakan.
Dalam sidang media sama, sejumlah 19,284 kesalahan direkodkan dalam Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri.
Ia terdiri daripada 5,850 kesalahan berkaitan lesen tamat tempoh dan tiada pelindungan insuran, sebanyak 4,148 kesalahan tiada lesen memandu atau tamat tempoh dan 3,035 kesalahan motosikal tidak brek atau tayar botak.
Selain itu, 1,094 kesalahan berkaitan kesalaun utama dan 1,011 kesalahan berkaitan kenderaan barangan.
JPJ juga menurut Aedy Fadly mengingatkan kepada pemilik dan pemandu kenderaan barangan, sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2025, Larangan Pemanduan Ke Atas Kenderaan Barangan (Road-Ban) akan mula dikuatkuasakan selama empat hari iaitu pada 29 dan 30 Mac serta pada 5 dan 6 April depan.
“Bersempena dengan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2025, pihak JPJ memohon pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi peraturan-peraturan jalan raya dan pengguna perlu memastikan kenderaan masing-masing telah diselenggara dengan baik dan selamat serta rancang perjalanan ke destinasi yang di tuju.
“Para pengguna jalan raya juga dinasihati agar mempunyai rehat yang cukup dan berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) jika keletihan,” nasihat beliau lagi.
Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri akan berakhir 8 April depan. – MalaysiaGazette