KUANTAN – Lebih 50 majikan di Pahang ‘berani’ mengambil banduan di bawah Program Orang Bebas Berlesen (OBB) sebagai pekerja di perusahaan mereka.
Pengarah Penjara Pahang, Datuk Abu Hasan Hussain berkata, majikan yang berdaftar itu bersedia memberi peluang kedua kepada golongan berkenaan untuk berkhidmat dalam pelbagai bidang antaranya perkhidmatan, perkilangan dan perladangan.
“Dengan sambutan dan promosi yang baik berkaitan hal ini, saya percaya lebih banyak majikan atau peniaga yang memerlukan tenaga kerja akan berhubung dengan kita.
“Bagi prospek pula ia akan mempercepatkan mereka mengubah tingkah laku ke arah lebih positif sekali gus lebih mudah diterima oleh keluarga dan masyarakat sekeliling,” katanya.
Abu Hassan berkata, pihaknya amat mengalu-alukan majikan yang berminat untuk mengambil banduan di bawah Program OBB sebagai pekerja bagi memberikan mereka keyakinan kembali diterima oleh masyarakat.
Program berkenaan sekali gus mengubah persepsi negatif orang ramai terhadap prospek supaya dapat menjalani kehidupan normal setelah menjalani hukuman di penjara.
Jelas Abu Hasan, seharusnya majikan boleh mengambil pendekatan seperti yang dilakukan oleh majikan yang juga penganjur Bazar Aidilfitri Madani Lestari dan Pintar 2025 di Dataran Sekilau.
Katanya, 10 banduan di bawah program OBB diberikan kepercayaan untuk bekerja dan bercampur bersama komuniti dalam mencari rezeki sepanjang Ramadan kali ini.
“Pihak penganjur bazar ini telah mengambil enam individu OBB sebelum ini dan pada tahun ini mereka menyediakan 10 peluang kerja kepada prospek.
“Kesemua prospek didapati ceria dan bersemangat untuk bekerja bagi membantu keluarga menjelang Aidilfitri ternyata dapat menyempurnakan tugasan dengan baik.
“Pihak penjara mengucapkan kasih kepada majikan mereka kerana memberi kepercayaan ini,” katanya pada Program Outreach Jabatan Penjara Pahang bersama Komuniti di Bazar Aidilfitri Madani Lestari dan Pintar 2025 di Dataran Sekilau di sini semalam.
Sementara itu, penganjur bazar berkenaan, Shafieq Johari berkata, sebagai majikan beliau berpuas hati dengan pekhidmatan yang dilakukan oleh pekerja menerusi program OBB.
“Alhamdulillah ini kalai kedua saya mengambil pekerja melalui OBB. Setakat ini beluam ada sebarang aduan atau laporan salah laku diterima,” katanya. – MalaysiaGazette