KUALA LUMPUR – Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) dan syarikat induknya, Hydroshoppe Sdn. Bhd. memfailkan saman berjumlah RM1 bilion terhadap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Kementerian Komunikasi dan pemegang konsesi baharu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.
Ia bagi mencabar apa yang mereka anggap sebagai pelanggaran asas terhadap Perjanjian 2022, kata Pengarah Urusan MKLSB, Datuk Abdul Hamid Shaikh.
Menurut beliau, tindakan undang-undang tersebut bertujuan mendapatkan ganti rugi RM1 bilion serta menghalang pengambilalihan tidak sah terhadap konsesi pengurusan mercu tanda ikonik negara itu.
Katanya, selama hampir 30 tahun, MKLSB telah mengurus dan menyelenggara Menara Kuala Lumpur.
Pada tahun 2022, Hydroshoppe telah dijemput oleh Kementerian Komunikasi ketika itu sebagai rakan strategik bagi memastikan kelangsungan operasi dan penyelenggaraan menara ini.
“Berdasarkan jaminan kerajaan bahawa konsesi baharu akan diberikan kepada MKLSB dan Hydroshoppe, kami telah melabur sumber kewangan dan tenaga kerja yang besar untuk mengekalkan Menara KL,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kerajaan baharu memberikan konsesi itu kepada anak syarikat Lim Seong Hai Capital Bhd. sekali gus mengetepikan komitmen yang telah dibuat sebelum ini.
MKLSB dan Hydroshoppe mendakwa, pelbagai usaha telah dilakukan bagi menyelesaikan perkara ini secara baik namun Kementerian Komunikasi serta pemegang konsesi baharu enggan mengiktiraf perjanjian yang dibuat pada 2022.
Menurut Abdul Hamid, selain ketidakpastian operasi, mereka juga berdepan tunggakan pembayaran RM25 juta bagi perkhidmatan penyelenggaraan dan operasi Menara KL.
“Pada 27 Mac, MKLSB dan Hydroshoppe telah memfailkan saman terhadap Fahmi, Kementerian Komunikasi dan pemegang konsesi baharu, manakala keesokannya, permohonan perintah injunksi turut difailkan bagi menghalang pengambilalihan paksa Menara KL,” katanya.
Menurut beliau, kes itu bukan sahaja melibatkan kepentingan syarikat tetapi juga pekerja MKLSB yang kini berdepan tawaran pekerjaan dengan terma yang didakwa melanggar undang-undang buruh Malaysia.
Tambahnya, memandangkan Menara KL adalah mercu tanda negara dan aset pelancongan utama, kestabilan serta tadbir urus yang baik amat penting dalam pengurusannya.
Kes tersebut kini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan keputusan permohonan injunksi tersebut dijangka memberi implikasi besar terhadap perkongsian awam-swasta serta penguatkuasaan kontrak kerajaan di Malaysia. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: