KUALA LUMPUR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengesan penipuan dalam talian yang menyamar sebagai pegawai AADK dengan bertindak memeras ugut keluarga klien yang sedang menjalani program rawatan dan pemulihan di AADK dengan suatu bayaran tertentu bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas.
AADK dalam kenyataan berkata, sehingga hari ini, agensi itu mengesan dua kes melibatkan panggilan telefon dan e-mel secara terus dengan keluarga klien.
“Sehubungan itu, AADK ingin memberi peringatan kepada orang ramai mengenai modus operandi baharu penipuan dalam talian yang menyasarkan keluarga dan penjaga klien AADK dengan menyamar sebagai pegawai AADK ibu pejabat untuk mendapatkan wang ringgit.
“Bagaimanapun tiada mangsa penipuan dilaporkan setakat ini memandangkan semua mangsa terus merujuk Pusat Gerakan Hotlien (PGH) AADK untuk mendapatkan pengesahan,” katanya.
AADK menasihatkan kepada ahli keluaga atau penjaga klien yang menerima panggilan atau e-mel yang mecurigakan supaya terus menghubungi pegawai pemulihan AADK di daerah, negeri atau ibu pejabat sebelum sebarang tindakan dibuat.
Katanya antara langkah yang boleh diambil adalah seperti tidak melakukan sebarang transaksi pemindahan wang kepada individu atau nombor akaun yang mencurigakan, membuat laporan polis pada kadar segera dan melaporkan perkara tersebut kepada pejabat AADK berhampiran atau menghubungi talian bebas tol PGH AADK bernombor 1-800-22-2235 atau aplikasi Whatsapp di talian 019- 626 2233.
“AADK komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan klien serta keluarga atau penjaga daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.
“Orang ramai juga diminta untuk sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan taktik licik penipuan yang menyalahguna nama AADK untuk kepentingan peribadi,” tambahnya. – MalaysiaGazette