Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bercakap pada sidang media berkenaan Majlis Pembukaan Seksyen 2 (Persimpangan Bertingkat SKVE ke Persimpangan Bertingkat SAE) di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 21 JANUARI 2025.

SUNGAI BULOH – Kesiapsiagaan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bagi berdepan sebarang kemungkinan menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri, di tahap yang terbaik.

Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, kedua-dua pihak itu memberi jaminan kepadanya untuk sentiasa memastikan perjalanan pengguna lebuh raya ke kampung halaman, selamat dan selesa.

“Saya sudah diberi taklimat sebentar tadi, tahap kesiapsiagaan dipastikan di tahap terbaik… Akan ada pasukan dan ambulans St John, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis bantuan dan daripada PLUS sendiri,” katanya.

Terdahulu, Alexander melakukan tinjauan sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 di Restoran Jejantas Sg Buloh (Arah Utara) bagi melihat sendiri keadaan trafik di lebuhraya tersebut menjelang hari raya tidak lama lagi.

“Saya difahamkan, banyak kenderaan melalui lebuhraya ini, kita sudah umum 50 peratus diskaun tol untuk dua hari dan JPJ juga menghadkan kenderaan berat untuk tidak digunakan dalam tempoh dua hari.

“Kita juga arahkan apa-apa kerja di lebuhraya yang tidak mustahak supaya dihentikan daripada 24 Mac hingga 7 April…Ini adalah bertujuan memastikan lebuhraya-lebuhraya selamat dan selesa untuk pengguna yang ingin pulang ke kampung,” tambahnya.

Sebagai rekod, LLM menjangkakan peningkatan jumlah trafik kepada 2.77 juta kenderaan sehari yang akan menggunakan lebuh raya utama sempena cuti perayaan Aidilfitri ini.

Daripada jangkaan tersebut, sebanyak 2.158 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS diikuti Lebuhraya KL-Karak (216,000); Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 1 (156,000); LPT Fasa 2 (70,000) dan 174,000 kenderaan di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat pada hari puncak sepanjang tempoh perayaan ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here