BERA – Seorang pekerja restoran maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh seekor lembu Jalan Felda Bukit Kepayang, di sini dalam kejadian 10.45 malam tadi.
Ketua Polis Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata mangsa Muhammad Hafiz Khairi, 26, disahkan meninggal dunia di lokasi nahas akibat kecederaan parah.
Anak Felda berkenaan dilaporkan menaiki motosikal jenis Honda Vario ketika terbabit dalam insiden itu semasa dalam perjalanan pulang dari bandar Bera ke Bukit Kepayang.
“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa telah melanggar seekor lembu yang sedang melintas jalan lalu terbabas ke bahu jalan.
“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca daripada penunggang yang telah melanggar binatang semasa menunggang motosikal sehingga menyebabkan kemalangan berlaku,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kes disiasat dan diklasifikasikan di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette