SEPANG – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyifatkan kejadian kemalangan melibatkan sebuah treler yang meragut lima nyawa sebagai satu tragedi menyedihkan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati punca kemalangan itu disebabkan oleh tayar treler yang pecah sehingga mengakibatkan kenderaan tersebut hilang kawalan sebelum merempuh laluan bertentangan.
Perlanggaran itu menyebabkan beberapa kenderaan dari arah berlawanan terlibat dalam nahas dan terbakar dan mengakibatkan kematian.
“Siasatan awal mendapati tayar treler itu pecah dan menyebabkan kenderaan gagal dikawal. Ia melanggar kenderaan dari arah bertentangan dan berlaku kebakaran yang mengorbankan beberapa nyawa.
“Syarikat pengangkutan yang terlibat akan disiasat dan diaudit secara menyeluruh manakala tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan keselamatan.
“Kita sering mengingatkan syarikat pengangkutan agar sentiasa menjalankan pemeriksaan rapi terhadap kenderaan mereka bagi memastikan keselamatan berada pada tahap terbaik.
“Namun begitu, siasatan terperinci perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar tayar tersebut pecah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi ramah mesra dan acara send off penumpang Batik Air yang pulang berhari raya ke Sabah dan Sarawak yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Murthy di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA1) di sini malam ini.
Dalam pada itu, Anthony juga menegaskan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan mengambil langkah lanjut bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap syarikat terbabit.
Ketika ini, kata Anthony, pihak polis juga telah menahan pemandu treler tersebut untuk membantu siasatan.
Mengulas mengenai isu pematuhan standard tayar, Anthony tidak menolak kemungkinan berlaku penyalahgunaan atau ketidakpatuhan oleh syarikat pengangkutan.
Beliau turut menjelaskan terdapat laporan mengenai taktik menukar tayar sebelum pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan menukarnya semula selepas lulus pemeriksaan.
“Pemantauan lebih ketat sedang diusahakan agar tiada syarikat mengambil kesempatan dengan cara tersebut, kita juga siasat sama ada tayar yang digunakan merupakan tayar klon atau tidak tapi kita minta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi.
“Kita tidak boleh terus merumuskan tayar digunakan adalah tayar klon. Siasatan akan dilakukan secara terperinci bagi menentukan sama ada tayar itu mematuhi piawaian keselamatan atau tidak,” tegasnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Nahas maut: Tiga beranak sepatutnya photoshoot raya pagi ini