WASHINGTON – Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio menyuarakan kebimbangan terhadap kestabilan di Turkiye susulan protes terhadap pemerintah negara tersebut.
Tambahnya, Washington berhasrat untuk berkerjasama dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
“Kami memerhati dan kami juga menzahirkan kebimbangan (terhadap isu itu). Kami tidak suka melihat kepada ketidakstabilan urus tadbir mana-mana negara yang menjadi rakan sekutu rapat,” kata Rubio kepada pemberita semasa beliau terbang dari Suriname ke Miami.
Tambah beliau, Presiden Donald Trump mempunyai hubungan kerja yang baik dengan Erdogan semasa pentadbiran pertama beliau. Mereka berhasrat untuk memulakan semula hubungan tersebut.
“Mereka merupakan sekutu NATO. Kami berhasrat untuk bekerjasama dengan mereka di Syria dan juga tempat-tempat lain,” ujarnya lagi.
Rubio bertemu Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan di Washington, Selasa lalu.
Jabatan Negara dalam kenyataan selepas pertemuan tersebut menzahirkan kebimbangan terhadap cara protes itu tercetus iaitu dengan penangkapan Datuk Bandar Istanbul. -AGENSI