KUALA LUMPUR – Harimau mati meninggalkan belang‚ manusia mati meninggalkan nama.
Peribahasa itu tepat untuk menggambarkan jasa ditinggalkan wartawan hiburan terkenal‚ allahyarham Kamal Huzaini Kamaludin atau lebih dikenali dengan panggilan Huzz dalam dunia penulisan tanah air.
Selepas sembilan bulan Allahyarham meninggal dunia akibat kanser usus pada 8 Jun 2024‚ namanya terus menjadi sebutan dan meniti di bibir insan-insan yang pernah menjalin kerjasama ketika hayat beliau‚ lebih-lebih lagi ketika menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Bagi menghargai jasa yang dicurahkan‚ Hotel Tenera Bandar Baru Bangi memperkenalkan menu istimewa dalam bufet Ramadan iaitu Asam Pedas Huzz Power sempena nama wartawan legenda yang tiada galang gantinya itu.
Menurut Pengurus Besar Hotel Tenera & Suites‚ Fadzly Hamzah‚ menu istimewa tersebut dibuat sebagai penghargaan kepada allahyarham kerana semasa hayatnya‚ beliau antara rakan media yang banyak memberi sokongan kepada Hotel Tenera pada peringkat awal beroperasi.
“Menu ini turut mendapat perhatian ramai‚ bukan sahaja kerana nama allahyarham tetapi asam pedas menjadi antara juadah kegemarannya. Segala teguran dan cadangan yang diberikan Allahyarham untuk menambah baik rasa asam pedas ini‚ kami ambil untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

“Jasa beliau kepada hotel ini sejak ia dibuka akan terus dikenang dan menjadi kenangan yang tidak mungkin akan kami lupakan. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman‚” jelas Fadzly.
Sementara itu, selain Asam Pedas Power Huzz sepanjang Ramadan‚ lebih 200 pilihan menu yang disediakan hasil air tangan Cef Sahisal Azrul Mat Said iaitu Cef Eksekutif Hotel Tenera bermula dari lobi hotel.
Bufet hotel itu masih mengekalkan konsep geraigerai seperti di bazar Ramadan seperti tahun sebelumnya.
“Kami juga melakukan pembaharuan dengan menyediakan menu Nasi Dalca Lutut Kambing dan Kawah Gulai Raja Berangkat d mana menu ini dipelajari daripada peneroka Felda Kemahang‚ Kelantan dan kami naik taraf dan jadikan ia sebagai menu warisan Malaysia.
“Menariknya sepanjang Ramadan‚ pelanggan turut disajikan dengan durian Musang King setiap hari yang dibawa khas dari pengeluar tempatan di Pahang‚” katanya. – MalaysiaGazette
