KUALA LUMPUR – Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) memperuntukan lebih RM500,000 bagi melaksanakan pelbagai program bersama masyarakat sempena bulan Ramadan.
Bank berkenaan dalam kenyataan hari ini berkata, lebih 5,000 orang daripada golongan asnaf, anak yatim, fisabilillah, mualaf dan lain-lain telah mendapat manfaat daripada program Ziarah Ramadan, Majlis Berbuka Puasa di empat wilayah dan edaran pek makanan iftar.
Dalam program Ziarah Ramadan, penghuni enam buah rumah amal terpilih sekitar ibu kota telah menerima sumbangan seperti baju dan duit raya sempena Hari Raya Aidilfitri.
Menurut kenyataan itu, dalam Majlis Berbuka Puasa di empat wilayah pula, sumbangan duit raya turut diberikan kepada penghuni rumah amal terpilih selain menyumbangkan sejumlah wang tunai untuk masjid terpilih.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin dalam kenyatan itu berkata, pihaknya berbangga dengan kesungguhan kakitangannya yang memberikan komitmen yang sangat tinggi untuk sama-sama menjayakan program berkenaan.
“Ia sebahagian daripada komitmen berterusan untuk mencipta kehidupan lebih baik bersama komuniti dan masyarakat,” ujar beliau dalam kenyataan itu.
Sementara itu, bagi menyuntik semangat buat rakan-rakan yang bekerja tanpa mengira masa pada bulan Ramadan, edaran pek makanan iftar kepada anggota barisan hadapan dan rakan media telah dijalankan sepanjang bulan ini.
Selain itu, beberapa cawangan Bank Muamalat di setiap negeri juga menganjurkan program edaran bubur lambuk kepada orang ramai dengan jumlah penerima keseluruhan sebanyak 7,000 orang.
Sementara itu, program Sembang Santai Moreh Bank Muamalat Bersama Media hari ini telah dihadiri oleh hampir 30 rakan media telah dianjurkan bagi meraikan rakan media yang sentiasa memberi sokongan kepada Bank Muamalat.
“Bank Muamalat berharap agar program-program ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang untuk memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat. Rezeki dikongsi, nikmat disyukuri,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette