KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Zamri Vinoth berpendirian untuk tetap mempertahankan dirinya terhadap pertuduhan menghina agama Hindu.
“Demi kebenaran kita lawan kerana saya diajar lawan tetap lawan!,” kata Zamri di Facebook rasminya hari ini.
Zamri hari ini direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan menghina agama Hindu.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd Nor di Mahkamah Kangar, Perlis.
Menurut peguamnya, Zuhair Mohd. Zakuan, beliau mengetuai sembilan barisan peguam lain mewakili suspek untuk kes melibatkan pendakwah selebriti tersebut.
Zamri kini disiasat dibawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Zamri ditahan berhubung hantaran Facebooknya mengenai isu pemindahan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur.
Razarudin menjelaskan penahanan Zamri dibuat susulan satu laporan polis yang mendakwa dia memuat naik komen yang menyentuh sensitiviti agama berkaitan isu tersebut.
Beliau menjelaskan, pihaknya menerima laporan daripada seorang penganggur berusia 62 tahun pada pukul 6.30 petang kelmarin.
Pengadu mendakwa terbaca satu komen di media sosial atas nama Zamri Vinoth mengenai hasil rundingan berkenaan penempatan semula tapak sebuah kuil Jalan Munshi Abdullah, di sini, yang berunsur hasutan dan mencemarkan agama Hindu.
Dalam hantarannya sebelum ini, Zamri menggambarkan jawatankuasa kuil sebagai merampas tanah untuk membina tempat ibadat tersebut.
Bagaimanapun isu kuil tersebut telah diselesaikan secara baik selepas jawatankuasa kuil mencapai persetujuan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung pemindahannya di tapak kira-kira 50 meter dari tapak sekarang. – MalaysiaGazette