KUALA LUMPUR – Dua individu yang terbabit dalam kes pecah rumah dan melanggar motosikal anggota polis di Jalan SS 14, dekat Subang Jaya berjaya ditahan hari ini.
Semasa kejadian, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta suspek apabila mereka cuba melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner, Wan Azlan Wan Mamat berkata, Balai Polis Subang Jaya menerima maklumat awam berkenaan satu kes pecah rumah yang berlaku di Jalan SS 14 pada pukul 3.50 petang.
Katanya, hebahan kemudian dibuat kepada semua anggota bertugas dengan anggota ronda cegah jenayah Balai Polis Subang Jaya yang berada di kawasan berhampiran segera ke lokasi.
“Ketika anggota tiba, kelihatan suspek sedang keluar dari rumah mangsa menuju ke kenderaan yang berada di hadapan rumah itu.
“Suspek berusia 30 dan 40-an terus memandu kenderaan dan melanggar motosikal serta seorang anggota polis di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Wan Azlan, anggota polis yang berada di tempat kejadian melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan suspek yang melarikan diri sehingga ke jejambat Jalan SS 14.
Katanya lagi, suspek bagaimanapun berjaya ditangkap oleh pihak polis dan siasatan lanjut kini dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 307 kanun keseksaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi talian 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah) atau Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Asisten Superintendan Khairulazizi Ismail 019-2817820. – MalaysiaGazette