KUALA LUMPUR – Jenama fesyen terkenal, Variante melancarkan koleksi eksklusif Eid 2025 iaitu Gemilang Raya sebagai penghormatan kepada warisan budaya Malaysia yang menggabungkan elemen moden yang menampilkan gaya lebih elegan dan sofistikated.
Pengasasnya, Leslie Variyan berkata, koleksi tersebut mengambil inspirasi daripada busana tradisional seperti kebaya dan baju kurung namun diberikan sentuhan moden yang lebih versatil menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Sempena dengan ulang tahun ke-20 dalam industri fesyen, Variante meneruskan komitmen dalam mengangkat fesyen muslimah ke satu tahap lebih tinggi dengan mengetengahkan konsep Refined Heritage yang menampilkan sentuhan klasik dalam potongan kontemporari.
“Kami ingin memastikan setiap helaian bukan sahaja menampilkan keanggunan klasik, tetapi juga menawarkan keselesaan dan fleksibiliti bagi wanita moden,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Leslie menambah, tidak hanya memberi fokus kepada reka bentuk, koleksi itu juga menampilkan warna-warna yang diinspirasikan daripada alam semula jadi seperti sage green, dusty rose dan champagne beige.
Pilihan warna berkenaan bukan sahaja mencerminkan ketenangan tetapi juga selari dengan trend fesyen semasa yang lebih menitikberatkan keseimbangan dalam berpakaian.
“Lebih 100 rekaan eksklusif diperkenalkan dalam koleksi ini, masing-masing direka dengan teliti untuk menyerlahkan kecantikan semula jadi si pemakai.
“Motif yang digunakan dalam koleksi ini turut beragam, dari abstrak berani, floral lembut hingga geometri tegas dan batik klasik yang malar segar.
“Kami mahu setiap wanita yang menyarungkan koleksi tersebut tampil yakin dan berseri di Aidilfitri. Ia bukan sekadar fesyen, tetapi satu penghormatan kepada keunikan, kelembutan dan keanggunan abadi yang menjadi identiti Variante,” katanya.
Sejak ditubuhkan pada Januari 2005, Variante kini memiliki butik di lokasi-lokasi strategik seperti Pavilion KL, Isetan KLCC, Sogo Kuala Lumpur, Melawati Mall, Alamanda Putrajaya, dan SACC Mall Shah Alam. – MalaysiaGazette
