Kementerian Luar Negeri di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Yangon memaklumkan semua rakyat Malaysia yang berada di negara itu dalam keadaan selamat.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, setakat petang tadi, tiada rakyat Malaysia yang terjejas setakat ini.

“Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Yangon dan Bangkok sedang memantau dengan rapat situasi susulan dua gempa bumi kuat yang melanda Myanmar pada 28 Mac 2025, yang telah menyebabkan kecederaan serta kemusnahan harta benda,” kata Wisma Putra.

Gempa bumi pertama dengan magnitud 7.7 berlaku sekitar pukul 1 tengah hari (waktu tempatan) dengan pusat gempa terletak di Wilayah Sagaing, barat laut Myanmar.

Gempa kedua dengan magnitud magnitud 6.4 berlaku tidak lama selepas itu.

Gegaran susulan daripada kedua-dua gempa ini turut dirasai di Chiang Mai, Bangkok dan Ho Chi Minh City.

“Menurut laporan media tempatan di Myanmar, darurat telah diisytiharkan di Wilayah Sagaing, Mandalay, Magway, Bago, Negeri Shan Timur dan Naypyidaw sementara pihak berkuasa sedang menilai tahap kerosakan akibat gempa bumi tersebut,” kata kenyataan itu lagi.

Di Thailand, laporan awal menunjukkan  sistem pengangkutan utama termasuk MRT, BTS dan kereta api lapangan terbang di Bangkok telah digantung operasi susulan gegaran tersebut.

Perdana Menteri Thailand turut mengisytiharkan darurat di Bangkok sementara penilaian tahap kerosakan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Laporan awal turut mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang tercedera. Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok yang terletak di Kronos Office Tower telah ditutup sementara bagi tujuan penilaian keselamatan.

“Buat masa ini, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk tidak menghampiri kawasan premis kedutaan yang sedia ada. Sekiranya berlaku kecemasan atau gegaran susulan yang kuat, rakyat Malaysia di Bangkok dinasihatkan untuk berkumpul di Kompleks Kedutaan bersebelahan Sathorn Garden dan bukan di lokasi Kronos Sathorn Tower,” jelas Wisma Putra.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang berada atau dalam perjalanan ke Myanmar dan Thailand dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada, mengikuti perkembangan terkini daripada pihak berkuasa tempatan dan mengambil semua langkah keselamatan yang perlu.

Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada mangsa dan keluarga yang terjejas akibat bencana gempa bumi ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here