Empat individu termasuk seorang wanita didakwa atas pertuduhan tipu wristband dalam kayuhan basikal PDRM di Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini.

BALIK PULAU – Empat individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan merperdaya penganjur kayuhan basikal ‘Program Penang 2nd Bridge 2023 Solidarity Fun Ride’ anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menggunakan wristband palsu bagi mendapatkan hadiah cabutan bertuah utama pada Disember 2023.

Tertuduh, Shahrul Hisham Hashim, 53, dan Mohammad Riyadz Hasbullah, 47, masing-masing didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Manakala Alias Ani, 62, dan Haslina Aarif, 45, yang minta dibicarakan atas pertuduhan sama dibenarkan ikat jamin masing-masing berjumlah RM3,500.

Mengikut pertuduhan, masing-masing mereka yang terdiri daripada penjawat awam, pesara guru, pengurus bangunan serta bekerja sendiri itu didakwa bersama bersama-sama telah mencapai niat bersama dengan menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu wristband palsu bernombor 1377 yang semua mengetahui bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Tapak Uptown Queens Bay, Persiaran Bayan Indah, Bayan Lepas di sini, jam 1.59 pagi pada 23 Disember 2023.

Shahrul Hisham didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Bagi kesalahan itu kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal serta berbentuk pengajaran kepada semua tertuduh.

Bagaimanapun, masing-masing mereka yang diwakili peguam mohon jaminan serta denda minima atas alasan perlu menanggung keluarga termasuk anak selain ada yang sudah tidak bekerja.

“Tiada kecederaan terhadap mana-mana mangsa dalam kes ini malah motosikal yang dimenangi itu telah diserahkan semula kepada penganjur.

“Malah, mahkamah sedia maklum hari raya Aidilfitri bakal menjelang dan wang diperlukan untuk membuat persiapan raya,” kata peguam masing-masing.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Mei depan bagi sebutan semula kes terhadap dua tertuduh yang mohon dibicarakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here