Gambar FB Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati orang ramai yang akan pulang ke kampung bermula hari ini bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri supaya berhati-hati dan mengutamakan keselamatan.

Perdana Menteri berkata, ini kerana jumlah kemalangan membabitkan kenderaan menjelang perayaan meningkat terlalu tinggi setiap tahun.

Beliau turut memberikan ucapan selamat buat golongan perantau yang mulai pulang ke halaman masing-masing bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri.

“Ambil semua langkah keselamatan yang perlu dan kita minta pemandu untuk berhati-hati dan berwaspada ketika memandu.

“Kemalangan memang kita perlu elakkan, jadi ini pesan saya kepada semua kerana kita balik kampung hendak menjalinkan silaturrahim.

“Tetapi, kalau ada kemalangan berlaku, bukan sahaja keluarga susah hati, sanak-saudara juga,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Jalan Raja Uda di sini hari ini.

Sebelum ini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lonjakan trafik yang ketara menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, dengan anggaran melebihi dua juta kenderaan pada tiga hari sebelum perayaan.

Peningkatan trafik tertinggi dijangka berlaku pada semalam, hari ini dan esok sebelum Aidilfitri dengan jumlah keseluruhan trafik musim perayaan kali ini mencecah lebih 2.2 juta kenderaan sehari.

Begitu juga selepas perayaan, puncak trafik dijangkakan trafik pada tiga hari bermula 4 April depan iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad yang turut disenaraikan sebagai salah satu hari trafik kemuncak dengan jumlah melebihi dua juta kenderaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here