KUALA LUMPUR – Semua pihak harus menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan yang dianuti majoriti rakyat di Malaysia, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, kata Datuk Mohd Na’im Moktar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata episod-episod penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW yang dilakukan di media sosial baru-baru ini adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan amat dikesali.
Beliau juga meminta semua pihak untuk mengelakkan daripada menimbulkan sebarang isu yang boleh mencetuskan senstitiviti agama yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Saya berasa amat dukacita kerana insiden-insiden sebegini masih berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia yang seharusnya telah memahami batas-batas sensitiviti agama dan implikasi undang-undang dalam membuat sebarang kenyataan atau komentar, terutamanya di platform media sosial,” katanya, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata pihaknya menahan seorang penjawat awam yang disyaki memuat naik komen menghina Nabi Muhammad SAW di laman sosial Facebook, baru-baru ini.
Tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 35 tahun, 18 Mac lalu.
Lelaki itu bersama dua lagi pengguna disyaki memuat naik komen menghina Nabi Muhammad SAW pada hantaran berita berkaitan Malaysia mengutuk keras kezaliman terhadap lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang maut dalam serangan udara di Gaza, baru- baru ini.
Jelas Mohd Na’im lagi, semua agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus memperkukuh usaha dan program kesedaran masyarakat bagi memastikan orang ramai lebih berwaspada dalam menggunakan media sosial serta sentiasa menjaga adab dan batas sensitiviti agama.
“Usaha ini penting bagi memelihara keharmonian dan kesejahteraan antara kaum dan agama di negara kita,” katanya lagi.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, mahu polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap seorang pemilik akaun Facebook yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW menerusi hantaran di media sosial.
Aaron berkata, tindakan menghina mana-mana agama bukan sahaja mencabuli prinsip keharmonian dan perpaduan negara, tetapi juga boleh mengundang akibat yang sangat serius kepada keamanan serta ketenteraman awam. – MalaysiaGazette