DALAM kesibukan dan keterujaan untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan lebaran, ramai yang sering terlepas pandang mengenai keperluan Orang Kurang Upaya (OKU) yang turut sama berada di jalan raya seperti kita.
Tidak ramai yang menyedari bahawa kawasan Rehat dan Rawat (R&R) bukan sahaja penting sebagai tempat persinggahan, tetapi juga merupakan ruang rehat kritikal bagi OKU, khususnya pengguna kerusi roda.
Kemudahan OKU Bukan Untuk Disalah Guna
Kemudahan seperti parkir khas, tandas mesra OKU, ramp dan laluan rata bukan sekadar simbol sokongan, tetapi keperluan asas bagi golongan OKU untuk menjalani kehidupan harian mereka dengan lebih selamat dan bermaruah.
Sebagai contoh, parkir OKU direka dengan saiz lebih luas dan berada berdekatan bangunan bagi membolehkan pemandu OKU menurunkan kerusi roda atau peralatan bantuan lain dengan selesa.
Tandas OKU pula dibina dengan ruang lebih besar serta dilengkapi grab bar untuk menyokong pergerakan masuk dan keluar dari kerusi roda. Ramp atau laluan pejalan kaki tanpa tangga pula adalah satu-satunya akses bagi mereka yang tidak boleh menaiki anak tangga.
Namun amat menyedihkan apabila masih ramai yang dengan mudah menceroboh kemudahan ini atas alasan:
- “Sekejap saja”
- “Tak ada OKU pun sekarang”
- “Parkir penuh, tinggal yang ini sahaja”
- “Saya pun sakit lutut, OKU juga”
Alasan seperti ini mencerminkan kurangnya kesedaran sivik dan empati dalam kalangan masyarakat kita.
Tindakan tersebut mungkin hanya “sebentar” bagi anda, tetapi boleh menyebabkan kesukaran besar kepada seseorang OKU yang tidak dapat menggunakan kemudahan yang disediakan.
Sedikit Ruang, Besar Maknanya
Sebagai individu yang berkerusi roda sejak 2014, saya sendiri mengalami cabaran untuk menggunakan kemudahan awam apabila ia disalahgunakan oleh orang lain.
Tidak mudah bagi OKU untuk keluar dari kenderaan tanpa ruang mencukupi. Tidak mudah untuk menukar lampin dewasa atau membersihkan diri tanpa ruang tandas yang sesuai. Tidak mudah untuk masuk ke kawasan R&R jika laluan ramp dihalang oleh motosikal atau penjual jalanan.
Setiap kemudahan itu direka hasil daripada kajian keperluan sebenar, bukan untuk keistimewaan atau layanan istimewa.
Seruan kepada Masyarakat
Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia – terutamanya ketika musim Aidilfitri yang penuh rahmat ini – agar menghormati dan mempertahankan hak OKU terhadap kemudahan awam yang telah disediakan untuk mereka.
- Gunakan parkir dan tandas biasa jika anda bukan OKU.
- Jangan letakkan kenderaan atau motosikal di ramp dan laluan khas.
- Tegur dengan berhemah mereka yang menyalahgunakan kemudahan ini.
- Fahami bahawa cabaran fizikal OKU berbeza dan memerlukan sokongan masyarakat.
Jadilah Warga Malaysia yang Bertanggungjawab
Aidilfitri adalah tentang kesyukuran, keinsafan dan belas ihsan. Dalam kegembiraan menyambut hari raya, janganlah kita lupa akan mereka yang masih perlu berjuang untuk sekadar ke tandas atau membuka pintu kereta sendiri.
Jika anda sihat dan sempurna anggota tubuh, gunakan kelebihan itu untuk memudahkan orang lain, bukan menyulitkan. Biar kita jadi masyarakat yang beradab, bertimbang rasa, dan mencerminkan nilai sebenar rakyat Malaysia yang penyayang.
Gunakan hati, bukan alasan. Hormati ruang OKU, walau anda tidak menggunakannya.
Oleh,
Dr Basri bin Husin
Setiausaha
Persatuan Advokasi Kecederaan Saraf Tunjang Malaysia (MASAA)
Emel: [email protected]
Telefon: +6012-3920974
-MalaysiaGazette