Dr. Fuziah Salleh

KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengingatkan peniaga agar tidak menjual santan melebihi harga RM17.50 dalam tempoh lima hari Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dikuatkuasakan.

Timbalan menterinya, Dr. Fuziah Salleh berkata, pihaknya juga mengingatkan agar tidak menjual santan dengan campuran air untuk mengaut untung lebih.

“Harga siling bagi sekilogram bahan itu di bawah SHMMP ialah RM17.50 berbanding harga pasaran iaitu di antara RM21 hingga RM28.

“Sempena raya ini peniaga tidak boleh jual melebihi RM17.50, saya juga mengingatkan peniaga jangan campurkan air untuk mencairkan santan.

“Ini kerana kerana kita tahu penjual tetap untung dengan harga itu,” katanya ketika mengulas mengenai santan segar yang menghadapi masalah bekalan sebelum ini.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 1,478 aduan diterima dari di seluruh Malaysia dalam tempoh lima hari SHMMP dikuatkuasakan.

Daripada jumlah aduan tersebut, ia membabitkan 378 kes bagi seluruh negara dan 18 kes di Pahang.

Menurutnya, dua kes yang melibatkan jualan barangan melebihi harga maksimum dan ini memerlukan kertas siasatan dibuka manakala selebihnya tidak meletakkan tanda harga.

“Kebiasaan pihak yang tidak cakna dengan hal ini ialah peniaga runcit dan bukan pasaraya besar, mungkin mereka ingat pengguna tidak tahu hak mereka,” katanya.

Fuziah mengadakan sesi turun padang ke Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Mega Aidilfitri Peringkat Pahang di Tapak Hadapan Pasar Nelayan Pantai Sepat di sini hari ini kali ini mensasarkan manfaat penganjuran PJRM kepada penduduk kampung.

PJRM anjuran KPDN dengan kerjasama strategik dua oprateor PJRM dan Lembaga Ikan Malaysia (LKIM) itu berlangsung selama dua hari sehingga esok dengan menawarkan potongan harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

Antara barangan dijual ialah daging segar, ayam segar, beras lima kilogram (kg), sayur-sayuran, telur ayam, minyak masak lima kg dan tepung gandum. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here