Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

SHAH ALAM – Rakyat golongan biasa di negara ini tidak perlu runsing dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 selepas separuh pertama tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana mekanisme terperinci telah dibuat di mana unjuran menunjukan sehinga 90 peratus rakyat tidak terkesan dengan penyasaran subsidi RON95.

“Mekanisme terperinci rasionalisasi subsidi RON95 sudah dibuat dan saya tidak terfikir rakyat biasa perlu runsing kerana 85 hingga 90 peratus tidak terkesan dan yang dikenakan warga asing dan golongan mahakaya.

“Malah kita kaji bukan 85 peratus, tapi 90 peratus tak dikenakan kepada rakyat. Yang dikenakan siapa? Orang (warga) asing dan yang maha kaya.

“Kalau gaji dan pendapatan dia RM50,000 sebulan, bayarlah sikit,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu rakyat selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Raja Tun Uda, Shah Alam, Selangor, 27 Mac 2025

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Raja Tun Uda di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata, kerajaan akan mengumumkan mekanisme lengkap pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 kepada rakyat selepas separuh pertama tahun ini, menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua peringkat harga.

Beliau menjelaskan, pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan negara itu sedang diperhalus dan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.

Belanjawan 2025 yang dibentangkan sebelum ini menyaksikan kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun ini, dengan anggaran sekitar RM12 bilion untuk 85 peratus rakyat Malaysia.

Perdana Menteri ketika mengumumkan perkara itu berkata, warga asing dan 15 peratus teratas pengguna mahakaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 yang bernilai RM8 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here