Kumar membantu memakaikan topi kaledar selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya PDRM Johor bersama Perkeso Johor sempena Op Selamat 24/2025 Hari Raya Aidilfitri Tahun 2025 di Plaza Tol Perling, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kecuaian pengguna lebuh raya menyumbang kepada 97 peratus kes kemalangan yang berlaku dalam Op Selamat Aidilfitri di Johor pada tahun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, selebihnya adalah membabitkan isu teknikal seperti kerosakan kenderaan dan faktor jalan raya.

“Walaupun kadar kemalangan musim perayaan menurun 19.5 peratus dalam tempoh dua tahun lalu, pengguna jalan raya diingatkan supaya lebih berhati-hati disebabkan lonjakan trafik yang meningkat dua hingga tiga kali ganda.

“Perkara ini bukanlah tugas tanggungjawab mutlak agensi penguatkuasa keselamatan di jalan raya. Ini adalah tanggungjawab bersama.

“Kita (polis) di sini adalah untuk membantu memastikan keselamatan, dan saya menyeru kepada masyarakat agar sentiasa amalkan sikap bersabar, toleransi dan cermat serta berhati-hati di jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya PDRM Johor bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Johor sempena Op Selamat 24/2025 Hari Raya Aidilfitri Tahun 2025 di Plaza Tol Perling hari ini.

Turut sama dalam program tersebut ialah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Wilayah Selatan dan Projek Lebuhraya Usahasama (PLUS) Berhad.

Dalam Op Selamat 22/2024 tahun lalu, sebanyak 1,069 kemalangan dilaporkan dan 12 daripadanya merupakan kemalangan maut yang mengakibatkan 14 kematian.

Kumar berkata, polis telah mengenal pasti 47 lokasi utama kesesakan dan 36 lokasi kerap berlaku kemalangan di negeri ini.

“Polis akan turut meneruskan kolaborasi dengan lain-lain agensi melalui Emergency Response Team (ERT) yang terdiri daripada pelbagai agensi bagi memberi pertolongan pantas di lebuh raya.

“Pasukan ERT ini berpusat di dua lokasi utama iaitu di Pejabat PLUS Yong Peng dan Sedenak,” ujarnya.

Dalam pada itu, jurutera PLUS, Mohd Khairul Kamarudin berkata, dijangka kira-kira dua juta kenderaan yang akan keluar masuk ke negeri ini pada musim perayaan ini.

Katanya, jumlah peningkatan kenderaan itu meningkat sehingga tiga kali ganda dari kebiasaan bermula hari ini hingga 3 April ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here