JOHOR BAHRU – Seorang kerani bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan harta iaitu wang berjumlah RM12,000 milik pelanggan bank, tahun lalu.
Tertuduh, Mohammad Julaihi Jaya, 33, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Berdasarkan kedua-dua kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu masing-masing wang berjumlah RM10,000 dan RM2,000, kepunyaan pemilik akaun iaitu seorang wanita, di sebuah bank di Jalan Abdullah Ibrahim di sini, pada 4 Januari dan 26 Februari 2024.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, R Navina menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan, namun dibantah tertuduh.
Dia yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan yang lebih ringan dan mengakui masih lagi bekerja sebagai kerani di bank berkenaan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Mei depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.- MalaysiaGazette