SHAH ALAM – Pemberian lencana Jalur Gemilang kepada pelajar sekolah merupakan pendekatan yang sudah lama diamalkan di kebanyakan negara luar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia dicadangkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini namun ia tertangguh sekian lama untuk dilaksanakan.
Beliau berkata, Jemaah Menteri akhirnya memutuskan agar cadangan tersebut dilaksanakan segera dan berharap ia tidak sepatutnya dijadikan polemik berpanjangan oleh mana-mana pihak.
“Lencana bendera Jalur Gemilang diberi percuma, lekat sahaja. Banyak negara jiran sudah buat lama dah, kita bincang sana bincang sini, buat sahajalah.
“Ini supaya anak-anak dididik daripada awal untuk kasih dan cinta kepada negara, itu sahaja. Hal ini pun nak dijadikan polemik panjang,” katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Jalan Raja Uda di sini hari ini.
Sebelum ini, KPM dilapor mempertahankan keputusan mewajibkan pemakaian lencana Jalur Gemilang kepada semua pelajar sekolah mulai 21 April depan.
Kementerian itu juga menegaskan, langkah tersebut bertujuan memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan generasi muda.
Jelas KPM lagi, semua pelajar akan dibekalkan dua unit lencana Jalur Gemilang secara percuma pada sesi persekolahan 2025/2026. – MalaysiaGazette