KUALA LUMPUR – Wong Kah Woh mempertahankan pengumuman terbaharu kementerian itu berhubung pemakaian lencana Jalur Gemilang.
Timbalan Menteri Pendidikan itu berkata, lencana tersebut diberikan secara percuma kerana kementerian memahami dan tidak mahu membebankan ibu bapa.
“Saya baca semua mesej, terima kasih atas komen masing-masing. Pada awalnya, ada ibu bapa yang bimbang bahawa ini akan menjadi kos tambahan kepada keluarga.
“Kementerian memahami perkara ini, sebab itulah setiap pelajar akan diberikan dua lencana bendera negara secara percuma,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya.
Beliau berkata, lencana yang diberikan tidak perlu ditampal kerana ia dilengkapi dengan pin bagi memudahkan ibu bapa.
” Ini membolehkan ia digunakan dengan mudah, satu untuk pemakaian harian dan satu lagi sebagai gentian,” tambahnya yang turut menjelaskan bahawa pemakaiannya selamat.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/03/28/murid-tak-pakai-lencana-jalur-gemilang-tidak-akan-dihukum/
Terdahulu dalam kenyataannya pagi tadi, KPM memaklumkan murid yang tidak memakai lencana Jalur Gemilang tidak akan dikenakan hukuman.
Katanya, inisiatif tersebut dilaksanakan bagi memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara, dan bukannya bertujuan menghukum.
Tambahnya, setiap murid akan dibekalkan dengan dua lencana jenis pin supaya mudah untuk disematkan pada uniform sekolah masing-masing.
Semalam KPM mengeluarkan kenyataan berhubung pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar di institusi pendidikan bawah berkuat kuasa 21 April ini secara berperingkat. -MalaysiaGazette