KUALA LUMPUR – Jangan terbiasa berjenaka secara lucah di tempat kerja kerana perbuatan itu mungkin cenderung ke arah gangguan seksual, demikian menurut keputusan Mahkamah Perusahaan.
Pengerusi Mahkamah Perusahaan Sarawak, Mohd. Taufik Mohd. Yusoff berkata, perbuatan membiasakan jenaka yang berkecenderungan kepada gangguan seksual adalah satu kesalahan.
“Maruah wanita tidak boleh dijadikan bahan jenaka di tempat kerja,” kata beliau dalam laporan portal FMT.
Mohd. Taufik menyatakan demikian ketika mengekalkan keputusan sebuah bank untuk memecat seorang pegawai yang didapati bersalah atas lima pertuduhan gangguan seksual.
Dalam kes itu, pihak yang menuntut dituduh secara rahsia mengambil gambar pengadu tanpa pengetahuannya dan berulang kali mengajaknya makan bersama termasuk makan malam namun pengadu menolak pelawaan itu.
Dia juga dituduh menghantar teks yang tidak wajar kepadanya, mengambil gambar bahagian belakang dan memberitahu hasratnya untuk membeli perisian yang boleh menanggalkan pakaian mangsa daripada gambar itu.
Pihak yang menuntut, yang telah berkhidmat dengan bank berkenaan selama 31 tahun, dipecat pada Disember 2023 selepas lembaga tatatertib bank menolak penjelasannya ketika menjawab surat tunjuk sebab.
Menurut laporan portal berita itu, Mohd. Taufik memuji tindakan pihak bank dan berkata dasar institusi kewangan secara jelas menyatakan jenaka bersifat seksual merupakan contoh gangguan seksual.
Kata beliau, majikan yang munasabah akan mengambil langkah sama iaitu memecat pekerja terbabit bagi mengekalkan imej korporat dan memastikan keharmonian di tempat kerja.
“Tiada hukuman yang sesuai dengan tindakan yang dilakukan oleh pihak yang menuntut terhadap pengadu selain pemecatan kerja.
“Perlu juga diperhatikan bahawa dalam kes gangguan seksual, pertimbangan utama mahkamah adalah perasaan mangsa apabila dikenakan tindakan sedemikian terhadapnya.
“Apa yang dirasai pengganggu ketika melakukan tindakan itu, seperti mengatakan ia hanya gurauan atau perkara biasa, bukan pertimbangan utama; melainkan ada tindakan timbal balik oleh pengadu, yang secara munasabah boleh dilihat atau tersirat turut menyumbang kepada tindakan sedemikian,” katanya baru-baru ini.
Dalam kes ini, Mohd. Taufik berkata, pihak yang menuntut gagal membuktikan bahawa mangsa telah bertindak balas dengan cara yang menunjukkan dia bersetuju dengan jenaka itu atau tidak tersinggung, dimalukan atau gentar dengannya.
“Tiada keterangan yang dikemukakan oleh pihak yang menuntut untuk menunjukkan bahawa terdapat situasi sebelum ini antara dia dan mangsa untuk mahkamah mendapati secara positif bahawa adalah perkara biasa bagi mereka untuk melakukan cara sedemikian,” katanya.
Mohd. Taufik berkata, pihak yang menuntut apabila ditanya oleh peguam bank jika tindakannya terhadap pengadu adalah tidak wajar, berkata: “Saya tidak bersetuju. Ia adalah perkara biasa bagi saya. Ia adalah gurauan dan spontan.”
Pihak yang menuntut mendakwa bahawa pengadu tidak pernah secara jelas menyuruhnya berhenti, yang membuatkan dia percaya bahawa dakwaan gangguan itu hanya ditafsirkan sebagai gurauan mesra antara mereka.
Mohd. Taufik bagaimanapun berkata, ia bukanlah pembelaan yang mencukupi dalam keadaan kes itu kerana mangsa menyangka dia boleh menangani keadaan tersebut.
Beliau juga menegaskan pihak yang menuntut mengakui semasa pemeriksaan balas bahawa, walaupun pengadu tidak menyuruhnya supaya ‘henti’, dia memahami bahawa dia membantah melalui perkataan atau cara lain.
Andrew Lo dari Kesatuan Pekerja Bank Sarawak mewakili pihak yang menuntut manakala Gordon Tang mewakili bank berkenaan. – MalaysiaGazette