KUALA LUMPUR- MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF) yakin perniagaan dijangka tidak melepaskan tekanan harga kepada pengguna memandangkan inflasi Indeks Harga Pengeluar (IHPR) kekal rendah di bawah inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP).
Inflasi IHP kekal sederhana pada +1.5 peratus tahun ke tahun pada Februari 2025, dan hal itu menunjukkan kos pengeluaran yang lebih tinggi belum memberi kesan ketara kepada harga pengguna.
Bagaimanapun, MIDF menjelaskan langkah kerajaan seperti pengurangan subsidi, gaji minimum lebih tinggi, dan peningkatan kos utiliti boleh menambah tekanan inflasi di Malaysia.
“Kemungkinan kelewatan dasar, terutamanya membabitkan rasionalisasi subsidi, boleh membantu mengekalkan inflasi rendah dan stabil,” menurutnya dalam “Economic Brief” pada Jumaat.
Harga pengeluar Malaysia meningkat bagi bulan ketiga berturut-turut namun pada kadar yang lebih perlahan, dengan inflasi IHPR berkurangan kepada +0.3 peratus tahun ke tahun pada Februari 2025 daripada +0.8 peratus tahun ke tahun pada Januari 2025.
Angka itu menandakan peningkatan paling perlahan berdasarkan aliran meningkat semasa.
Tekanan harga yang meningkat sebahagiannya didorong oleh pertumbuhan dua angka yang mampan dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan, yang menjadi sederhana kepada +15.2 peratus tahun ke tahun Februari 2025 daripada +16.5 peratus tahun ke tahun pada Januari 2025.
Prestasi itu sebahagian besarnya disokong oleh kenaikan harga subindeks tanaman kekal +26.1 peratus tahun ke tahun, yang mencerminkan harga yang lebih tinggi bagi komoditi pertanian utama.
Sementara itu, harga bekalan air kekal pada aliran meningkat namun perlahan kepada +2.9 peratus tahun ke tahun (Januari 2025: +7.6 peratus tahun ke tahun).
Sektor bekalan elektrik dan gas serta sektor perlombongan menyaksikan penurunan masing-masing sebanyak -0.2 peratus tahun ke tahun dan -9.7 peratus tahun ke tahun.
Sektor pembuatan kekal dalam deflasi bagi bulan keenam berturut-turut, walaupun pada kadar yang lebih perlahan, dengan harga susut -0.3 peratus tahun ke tahun pada Februari 2025.
Pada asas bulanan, inflasi IHPR meningkat sebanyak +0.1 peratus bulan ke bulan pada Februari 2025, perlahan daripada +0.3 peratus bulan ke bulan pada Disember 2024.
Penyumbang utama kepada kenaikan harga bulanan termasuk lantunan dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan (+1.4 peratus bulan ke bulan; Januari 2025: -3.9 peratus bulan ke bulan), pemulihan harga bekalan elektrik dan gas (+0.2 peratus bulan ke bulan; Januari 2025: -0.4 peratus bulan ke bulan), dan kenaikan harga berterusan sektor pembuatan (+0.3 peratus bulan ke bulan), yang kekal daripada bulan sebelumnya.
Mengikut peringkat pemprosesan, inflasi IHPR untuk bahan mentah bagi pemprosesan lanjutan dan bahan perantaraan, bekalan dan komponen adalah tidak berubah pada asas tahunan.
Sementara itu, indeks barangan siap meningkat +0.7 peratus tahun ke tahun, didorong oleh peningkatan indeks peralatan modal +1.7 peratus tahun ke tahun.
— BERNAMA