JOHOR BAHRU – Sorang pesara swasta rugi RM429,500 selepas terpedaya pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan berganda dalam masa singkat menerusi media sosial.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian tersebut bermula pada 18 November 2024 selepas mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun melihat iklan pelaburan saham dalam Facebook.
“Mangsa berminat dan menekan pautan yang diberikan. Mangsa kemudian dijanjikan keuntungan yang tinggi dalam tempoh masa yang singkat.
“Mangsa yang tertarik telah melakukan 22 transaksi ke dalam lima akaun bank yang berlainan bermula 17 Januari hingga 6 Mac lalu dengan jumlah keseluruhan RM429,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa telah diminta untuk membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan hasil keuntungan pelaburan.
Lelaki berkenaan katanya, menyedari dirinya ditipu apabila berusaha mengeluarkan wang pelaburan tetapi gagal sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini semalam.
Jelasnya, siasatan awal dijalankan melalui platform Semak Mule CCID mendapati semua akaun yang terlibat mempunyai rekod laporan polis melibatkan kes penipuan.
Tambah beliau, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebatan serta denda.
“Polis menasihatkan orang awam agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang pelaburan yang menjanjikan pulangan wang yang tinggi dan diminta sentiasa berhati-hati dan melakukan semakan terhadap pelaburan yang ditawarkan sebelum membuat sebarang pembayaran,” katanya.- MalaysiaGazette