KUALA LUMPUR – Pengarah Strategi Keadilan Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad mengumumkan hasratnya bertanding jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan Mei nanti.
Beliau menyatakan komitmennya untuk menawarkan kepimpinan yang berani dan progresif demi memastikan Keadilan terus relevan serta kukuh dalam menghadapi cabaran politik semasa.
Menurut Saifuddin, keputusan itu dibuat atas rasa tanggungjawab bagi memperkukuhkan parti terutama dalam konteks memastikan hala tuju dan dinamik Keadilan berada pada landasan yang betul.
“Walaupun agenda reformasi telah dilaksanakan di peringkat kerajaan, masih wujud jurang ketara pada peringkat akar umbi yang memerlukan perhatian lebih progresif dan strategik.
“Kepimpinan parti perlu sentiasa berani mendengar pandangan anggota di semua peringkat selain responsif terhadap isu-isu semasa dengan mengambil pendekatan yang konstruktif. Suara anggota perlu didengar dan dihargai, keperluan akar umbi mesti difahami serta diberi keutamaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pengalamannya dalam pentadbiran kerajaan dan parti di Selangor telah mengajar tentang pentingnya memperkasakan tradisi akar umbi sebagai pemegang taruh utama dalam perjuangan parti.
Justeru, beliau bertekad untuk memastikan partinya terus dihormati dengan membina kepimpinan yang mampu menginspirasikan anggota dan memberikan keyakinan kepada rakyat.
“Dalam usaha memperkukuhkan sokongan, saya akan turun padang ke cabang-cabang seluruh negara bagi mendengar sendiri pandangan serta cadangan daripada akar umbi bagi memastikan setiap anggota merasa dihargai dan terlibat secara langsung dalam proses perubahan parti.
“Saya menawarkan kepimpinan yang memupuk inspirasi, membina keyakinan dan membawa perubahan yang realistik dan berani. Kita memerlukan MPP yang tidak gentar memimpin, tidak takut berubah, dan berani berdepan dengan cabaran,” ujarnya.
Saifuddin turut menyatakan keyakinannya dengan panduan daripada kepimpinan terdahulu serta pengalaman yang dimiliki, beliau mampu membawa PKR ke arah masa depan yang lebih progresif dan diyakini.
Pada 26 Januari lepas, PKR dilaporkan memutuskan pemilihan bagi jawatan MPP, Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan diadakan pada 24 Mei ini.
Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh berkata pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang pula ditetapkan pada 11 hingga 20 April. -MalaysiaGazette