JOHOR BAHRU – Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui pasukan 8 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (8 Skn RAJD) sedang membina jambatan compact bailey 100 di Sungai Tiram di sini bermula kelmarin,
TDM dalam satu kenyataan memberitahu, kerja-kerja pembinaan jambatan tersebut sudah mencapai 73 peratus.
“Jambatan yang sedang dibina ini adalah sepanjang 18.29 meter, mengambil masa pembinaan lebih kurang 48 jam.
“Pembinaan jambatan ini akan menghubungkan semula jalan yang terputus antara Sungai Tiram ke Kampung Bukit Dagang.
“Selain itu, jambatan dan jalan ini juga merupakan satu-satunya laluan keluar masuk dari Sungai Tiram ke Kampung Bukit Dagang, Kampung Pasir Salam, Kampung Seri Perdana dan Nirvana,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas TDM, struktur jambatan asal telah runtuh pada 23 Mac lalu disebabkan oleh tekanan aliran air yang kuat ke sungai utama akibat daripada banjir baru-baru ini.
Tambah kenyataan itu, TDM terus komited dan bersedia dalam memberi khidmat kepada masyarakat ketika diperlukan.- MalaysiaGazette