KOTA TINGGI – Suasana hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Makam Dagang, Kampung Makam di sini hari ini apabila suami isteri anak dan bongsunya yang merupakan mangsa kemalangan maut di Kluang malam tadi selamat disemadikan.
Jenazah dikebumikan pada pukul 6.20 petang dengan lebih 100 hadir ahli keluarga, saudara mara dan kenalan memberi penghormatan terakhir buat tiga beranak berkenaan.
Allahyarham Nasarudin Pardi, 36, isterinya, Siti Khazira Bani, 35, serta anak mereka, Mariam Nasarudin, 2, dikebumikan dalam satu liang lahad.
Terdahulu, solat jenazah tiga beranak itu disempurnakan lebih 100 jemaah selepas solat Asar di Masjid Al Muttaqin Taman Kota Jaya di sini.
Dalam kejadian itu, lima terkorban termasuk tiga beranak tersebut dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Lebuh Raya Utara- Selatan di sini pukul 12.30 tengah malam tadi.
Kemalangan tersebut melibatkan lori kontena jenis Volvo, kereta Toyota Camry, kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stepwagon Spada dan MPV Proton X50.
Pasangan yang meninggal dunia selain tiga beranak tersebut, pemandu Proton X50, Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, dan penumpang hadapan, Mohd Nur Afiji Asamad, 27, akibat cedera parah di kepala dan badan dan meninggal dunia di tempat kejadian. – MalaysiaGazette