WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menganjurkan majlis berbuka puasa tahunan di Rumah Putih pada malam tadi dengan menzahirkan penghargaan kepada ratusan ribu pengundi Muslim-Amerika yang menyokong beliau dalam Pilihan Raya Presiden 2024.
Dalam ucapannya, Trump berkata, komuniti Muslim bersamanya pada bulan November lalu, merujuk kepada ketika Pilihan Raya Presiden AS diadakan.
“Selagi saya menjadi presiden, saya akan bersama anda. Saya fikir anda semua tahu itu,” katanya dengan disambut tepukan daripada hadirin seperti dilaporkan agensi berita antarabangsa.
Sementara itu, Trump mengakui sokongan padu daripada masyarakat Islam memberi impak besar dalam kemenangannya tahun lalu yang mana jumlah sokongan yang diterima disifatkan luar biasa dan tidak pernah dicapai sebelum ini.
Majlis itu juga diadakan di sebalik krisis di Asia Barat yang semakin tegang khususnya di Gaza serta serangan AS ke atas kumpulan Houthi di Yaman.
Menyentuh mengenai konflik Asia Barat, Trump menekankan komitmen pentadbirannya untuk menamatkan keganasan dan membawa keamanan ke rantau tersebut.
“Setiap hari, kami menunaikan janji kami kepada komuniti Muslim.
“Pentadbiran saya kini giat menjalankan usaha diplomatik untuk mewujudkan perdamaian kekal di Asia Barat,” ujarnya sambil menyebut inisiatif Perjanjian Abraham yang dimeterai semasa penggal pertama beliau sebagai asas kepada rundingan damai baharu.
Dalam majlis sama, Trump turut menyentuh mengenai keistimewaan Ramadan dan pengorbanan umat Islam yang berpuasa dari subuh hingga senja.
“Setiap hari dalam bulan suci ini, umat Islam menahan lapar dan dahaga, memperkukuh doa dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Mereka kemudian berkumpul bersama keluarga dan sahabat untuk berbuka puasa, itu adalah saat penuh syukur,” katanya.
Beliau secara peribadi turut menyebut umat Islam mempunyai seseorang yang benar-benar menyayangi dan menghargai mereka di Rumah Putih tersebut.
“Kami di pentadbiran ini tetap komited terhadap kebebasan beragama, satu prinsip teras cara hidup di Amerika Syarikat.
“Kami akan terus memperjuangkan masa depan yang aman untuk semua,” katanya. – MalaysiaGazette