Menteri Pengangkutan, Anthony Loke membuat pengumuman pada majlis ‘Raya Fixed Fare send off’ warga Sabah dan Sarawak balik beraya di Balai Berlepas KLIA 1. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 MAC 2025

KUALA LUMPUR – Dalam semangat perpaduan dan teruja menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hadir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mengucapkan selamat jalan kepada para penumpang penerbangan Batik Air OD 7908 yang berlepas ke Tawau malam ini.

Anthony turut menyantuni para penumpang yang kelihatan teruja dengan kehadiran menteri sambil mengedarkan beg cenderahati istimewa sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Penerbangan tersebut berlepas pada pukul 9 malam dengan membawa seramai 160 penumpang, menandakan permulaan perjalanan penuh makna bagi ramai yang bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy menegaskan, komitmen syarikat penerbangan tersebut dalam memastikan kelancaran perjalanan pada musim perayaan.

“Sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini, Batik Air telah meningkatkan kekerapan penerbangan secara signifikan terutamanya bagi laluan domestik utama untuk memberi lebih banyak pilihan perjalanan kepada penumpang yang pulang menyambut perayaan.

“Bagi penerbangan Kuala Lumpur-Tawau sahaja, jumlah penerbangan telah meningkat lebih dua kali ganda, dengan kapasiti melebihi 2,700 penumpang pada minggu menjelang Hari Raya 2025, berbanding hanya sekitar 1,100 penumpang pada tempoh sama tahun lalu.

“Sebagai respons kepada permintaan yang semakin meningkat, jumlah penerbangan ke Tawau telah ditambah kepada 16 pada minggu sebelum raya berbanding tujuh penerbangan tambahan pada tahun lalu,” katanya yang turut hadir bagi acara ‘send off’ penumpang Batik Air di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA1) di sini malam tadi.

Warga kota mula pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di KLIA Terminal 1 dan 2, Sepang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 MAC 2025

Sambung beliau, permintaan tinggi jelas terlihat pada penerbangan OD 7908 yang beroperasi pada kapasiti penuh mencerminkan keperluan perjalanan yang semakin meningkat bagi rakyat Malaysia pulang ke kampung halaman.

Batik Air juga telah meningkatkan operasi dengan menambah sehingga 140 penerbangan tambahan sepanjang tempoh puncak perjalanan termasuk ke destinasi popular seperti Kota Bharu, Alor Setar, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Sibu, Sandakan, Tawau dan banyak lagi.

Langkah strategik itu diambil tepat pada masa bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar dan selesa ketika rakyat pulang menyambut perayaan.

Sebagai inisiatif untuk meringankan beban perjalanan, Batik Air turut menawarkan tambang tetap sehala serendah RM319 ke Sarawak dan RM379 ke Sabah, dengan penerbangan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Usaha ini selaras dengan komitmen Batik Air dalam memastikan perjalanan perayaan lebih mudah dan mampu milik untuk semua. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here