Kilang Minyak Sawit Berasaskan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) Pertama di dunia di Minsawi Industries, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 19 NOVEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan dagangan yang terhad minggu depan berikutan cuti Hari Raya Aidilfitri, kata peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh.

Beliau berkata, dagangan itu dijangkakan antara RM4,000 dan RM4,200 satu tan, didorong oleh aktiviti pengambilan untung, dalam keadaan kenaikan tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump kepada beberapa negara termasuk yang berada di Kesatuan Eropah.

“Bagaimanapun, dari segi paras stok fizikal, setakat ini adalah baik. Kami tidak mendapat maklumat mengenai kekurangan dalam pasaran, dan tiada penyusutan bekalan di Malaysia dan Indonesia,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata, pasaran diunjur diniagakan dengan kecenderungan menyusut sedikit minggu depan berikutan potensi aktiviti pengambilan untung berikutan kenaikan harga baru-baru ini.

“Kami menjangkakan harga diniagakan antara RM4,320 dan RM4,450 satu tan,” katanya

Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta April 2025 meningkat RM111 kepada RM4,762 satu tan manakala Mei 2025 dan Jun 2025 masing-masing naik RM44 kepada RM4,551 satu tan dan RM4,419 satu tan.

Kontrak Julai 2025 naik RM52 kepada RM4,312 satu tan, Ogos 2025 menokok RM62 kepada RM4,239 satu tan dan September 2025 meningkat RM75 kepada RM4,200 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 441,127 lot daripada 364,344 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka susut kepada 258,352 kontrak daripada 256,932 sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Mac Selatan meningkat RM50 kepada RM4,830 satu tan.

Bursa Malaysia dan anak-anak syarikatnya akan ditutup pada 31 Mac dan 1 April bersempena cuti umum Hari Raya Aidilfitri, tertakluk kepada pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here