KUALA LUMPUR – Datuk Ganesan Supayah, ahli politik veteran yang cukup dikenali bersedia membawa semangat perubahan apabila mengumumkan hasrat bertanding jawatan Timbalan Ketua Cabang Selayang pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bulan depan.
Usahawan berjaya dalam bidang IT dan pemilik syarikat sendiri itu bukanlah nama asing dalam kalangan masyarakat Selayang, terutamanya di kawasan Rawang.
Meskipun baru sahaja menyertai PKR dua tahun lalu, pengalaman beliau dalam dunia politik dan kerja kebajikan sudah lama mengakar sejak tahun 1980-an.
Menurut Ganesan, keputusan untuk memilih PKR sebagai platform perjuangannya adalah kerana beliau melihat parti itu bukan sahaja relevan tetapi juga dekat dengan rakyat.
“Saya pilih PKR kerana parti ini membawa perjuangan reformasi yang diasaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat. Perjuangan ini bukan sekadar slogan, tetapi satu realiti yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sebagai anak jati Rawang yang lahir dan membesar di kawasan itu, Ganesan menegaskan bahawa beliau sudah lama turun padang menyantuni penduduk setempat tanpa mengira latar belakang.
“Tempat ini tanah tumpah darah saya. Rata-rata penduduk sini mengenali saya dan kerja-kerja kebajikan yang saya lakukan, walaupun saya tidak memegang apa-apa jawatan rasmi.
“Saya sentiasa berkhidmat dengan ikhlas, dan itu yang mendorong saya untuk terus membantu melalui platform politik,” jelasnya.
Menurut Ganesan lagi, beliau telah mendapat restu daripada pimpinan tertinggi parti untuk bertanding kali ini selepas dipujuk oleh ramai ahli akar umbi yang mahu melihat kepimpinan yang lebih berpengalaman dan berjiwa rakyat.
“Walaupun saya selesa bergerak sendiri, tetapi sokongan daripada pimpinan dan akar umbi memberi dorongan kuat kepada saya untuk bertanding. Saya yakin, sokongan ini akan diterjemahkan dalam bentuk undi nanti. Kalah atau menang itu adat pertandingan, yang penting adalah ikhlas berjuang,” ujarnya.
Bercakap mengenai pemilihan kali ini, Ganesan akan berdepan dengan saingan tiga penjuru, menentang Sulaiman Abu Samah dan Gan Song Chee. Namun, beliau tetap optimis bahawa akar umbi akan membuat pilihan terbaik demi masa depan Cabang Selayang.
“Saya percaya dengan sokongan akar umbi dan yakin dengan kekuatan kita bersama. Matlamat saya adalah untuk memastikan parti terus kuat dan relevan di Selayang,” tambahnya.
Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 peringkat cabang akan berlangsung dari 11 hingga 20 April, mengikut jadual negeri masing-masing dan Pahang dijadualkan pada 19 April depan. -MalaysiaGazette