badrul hisham shaharin rafizi
Badrul Hisham Shaharin

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta agar tidak menyalahkan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semata-mata susulan insiden kekecohan yang berlaku di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), malam tadi.

Aktivis Politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard berkata, ini kerana pihak berkuasa tempatan itu hanya melaksanakan polisi kerajaan.

Katanya, ketika Tan Sri Annuar Musa dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini, DBKL turut melaksanakan undang-undang yang sama namun, berbeza dari segi polisi yang kemudiannya penjaja kecil dibantu.

“Kini nampaknya polisi rejim anti peniaga kecil, angkuh terhadap rakyat tapi mesra orang kaya juga warga asing,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut memohon agar sesiapa yang mengenali penjual belon berkenaan agar menyalurkan maklumat kepadanya untuk dibantu.

Katanya, antara yang mungkin boleh dibantu sekurang-kurangnya kerugian yang ditanggung dan bayaran rawatan klinik sekiranya ada.

Selain itu, perkara  lain yang mungkin boleh dibantu ialah bagaimana untuk menolongnya terus berniaga.

Terdahulu, tular rakaman suasana kecoh di Jalan TAR selepas berlaku perselisihan antara penguat kuasa DBKL dan penjual barangan tanpa lesen.

Berdasarkan pemerhatian, berlaku tolak-menolak antara pegawai penguat kuasa DBKL berpakaian seragam dan kumpulan peniaga.

Difahamkan, kekecohan mula berlaku selepas pihak berkuasa mengambil tindakan merampas barang jualan dari beberapa individu termasuk penjual belon.

Ketika rampasan hendak dilakukan, penjual terbabit enggan menyerahkan puluhan belon yang dibawanya sebelum berlaku pergelutan.

Pada masa sama, beberapa individu lain juga dipercayai peniaga tanpa lesen turut menjerit supaya pihak berkuasa tidak mengasari penjual belon itu namun keadaan menjadi lebih tegang. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here