Keadaan peniaga belon dengan seorang lelaki dalam kejadian di Jalan TAR malam Jumaat lalu yang tular di media sosial.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) diminta ambil peduli tentang insiden kekasaran keterlaluan oleh penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap seorang peniaga belon di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), malam tadi.

Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah mendakwa, kejadian yang berlaku malam tadi itu adalah perbuatan di luar batas pemikiran normal dan penuh dengan kebiadapan terhadap peniaga tersebut.

Armand Azha Abu Hanifah

“Sepatutnya peniaga belon itu dilayan dengan cara berhemah, dengan lebih matang, menegur dan diberi amaran.

“Berniaga belon ini berbeza dengan berniaga makan dan minum kerana ia berniaga tanpa ada gunakan tapak parking, berniaga belon ini bergerak sepanjang jalan raya dan tepi jalan. Jadi perlu ada pertimbangan dan budi bicara dalam perlaksanaan tugas bukan guna kekerasan yang amat sangat.

“Jadi saya minta pihak DBKL ambil peduli dan guna kematangan, budi bicara, bukan kekerasan,” ujarnya.

Dakwa beliau lagi, kejadian itu bukan kali pertama dalam bulan Ramadan ini berdasarkan pelbagai video yang tular, menunjukkan penguat kuasa DBKL bertindak seperti pembuli dan gengster kepada peniaga-peniaga di ibu kota.

“Apa yang you all nak tunjukkan pada rakyat. Nak tunjuk budaya gengster, nak tunjuk kekerasan, budaya kuku besi? Ini budaya yang tidak baik yang akan mendatangkan polemik ketidakpuasan hati rakyat terhadap Kerajaan Madani.

“Saya desak pihak YB Menteri Wilayah sila ambil tindakan pada penguat kuasa yang melakukan kekerasan terhadap peniaga belon kerana menjatuhkan kredibiliti dan maruah DBKL seterusnya Kerajaan Madani,” tambahnya yang menyifatkan cara penguat kuasa DBKL menggunakan kuasa mereka terlalu biadap.

Armand mendakwa banyak lagi peniaga-peniaga haram dan warga asing yang berniaga tanpa lesen dan kotor dekat Jalan Silang, Puduraya, Chow Kit dan Pasar Borong Selayang tetapi tidak dilayan buruk sebegitu.

“Takda pula korang nak buat kekerasan macam tu, tau pula korang nak bincang dan sebagainya.

“Tapi bila datang warga negara kita yang berniaga secara Rambo ni, korang buat macam tak ada perikemanusiaan, korang buat mereka ni macam tak ada keluarga, korang buat mereka macam tak ada maruah.

“Lebih baik mereka berniaga kecil-kecilan macam ni daripada mereka minta sedekah, daripada mereka menyamun, mencuri,” ujarnya sambil sekali lagi meminta DBKL tunjukkan kematangan sebagai warga kerja kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here