Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu lebih prihatin, peka dan berhemah dalam menjalankan tanggungjawab.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka juga perlu mencari cari jalan untuk memudahkan peniaga-peniaga kecil mencari rezeki di musim-musim perayaan.

Katanya, lesen-lesen sementara boleh dikeluarkan untuk membolehkan mereka berniaga di tempat-tempat tertentu untuk suatu tempoh yang terhad.

“Saya menonton video mengenai seorang penjaja belon dipercayai telah dikasari oleh pihak penguatkuasa yang viral di media sosial.

“Sekiranya ia benar-benar berlaku, saya berasa sedih melihat insiden ini lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini.

“Tidak wajar kekasaran sebegitu rupa digunakan ke atas seorang penjaja tepi jalan yang kesalahannya hanyalah menjual belon,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, setiap kali menjelang musim perayaan, ramai peniaga kecil cuba mencari rezeki susulan keadaan tekanan kos sara hidup dan kesulitan yang dihadapi ketika ini.

Katanya, ketika PN mentadbir, Kementerian Wilayah Persekutuan telah melaksanakan inisiatif Wilayah Bebas Berniaga dengan mengeluarkan lesen-lesen sementara kepada penjaja bagi suatu tempoh tertentu untuk memudahkan penjaja kecil menjalankan perniagaan di Wilayah Persekutuan.

Ujarnya, inisiatif itu diambil untuk meringankan beban rakyat yang terjejas pendapatan akibat penularan wabak Covid-19.

Beliau menjelaskan, konsep yang sama boleh digunakan oleh kerajaan bagi meringankan beban rakyat.

“Dengan adanya kebenaran berniaga secara sementara ini, bolehlah rakyat menambah pendapatan untuk menyara hidup.

“Yang penting ialah sikap prihatin kerajaan dalam membantu rakyat. Bila kerajaan prihatin, langkah-langkah tentu boleh diambil untuk memenuhi keperluan rakyat tanpa perlu mereka melanggar undang-undang untuk mencari rezeki sesuap nasi.

“Saya berharap insiden malang seperti ini tidak berulang lagi,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here