KUANTAN – Bukan persalinan baju baru sahaja dicari orang ramai menjelang Hari Raya Aidilfitri malah ramai juga yang mahu menyediakan kenderaan mereka seolah-olah seperti baru dibeli.
Menurut pemilik kedai cuci kereta Vero Detailing, Mohd Hasnor Hasim, 43, premisnya tidak putus-putus menerima kehadiran pemilik kenderaan dari mula waktu kedai beroperasi sehingga larut malam sepanjang bulan Ramadan ini.
“Memang kalau setiap kali raya, sambutan memang luar biasa. Semua nak cuci, waxing, polish. Mereka sanggup berbelanja.
“Sejak bulan Ramadan, kami beroperasi bermula jam 2.30 petang sehingga pukul 11.30 malam. Semalam hari terakhir beroperasi, jadi saya tutup sampai pukul 2 pagi, itu pun sebab kami sudah tak larat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Hasnor telah mengusahakan perniagaan itu bersama isterinya sejak tahun 2020 selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Berbekalkan pengalaman menyediakan perkhidmatan cucian kereta terperinci (detailing), dia mengambil langkah menawarkan pakej cucian bagi setiap kali musim perayaan agar kualiti kerja yang diberikan terjaga bagi kepuasan pelanggannya.
“Sebab terlalu ramai yang datang walk-in selain yang sudah menempah dua sehingga tiga hari awal. Jadi, pada musim perayaan ini kami tawarkan pakej bernilai antara RM100 sehingga RM200 untuk basuhan dengan lima pilihan detailing.
“Dalam pakej tu pelanggan boleh memilih lima perkhidmatan detailing seperti basuhan biasa, waxing, dashboard, panel, fogging dan banyak lagi. Itu pun banyak tempahan yang kami terima. Ramai yang sanggup ambil giliran untuk menunggu.
“Ada yang dua tiga jam tunggu di kedai pun mereka sanggup,” tambahnya lagi.
Bagi membantu empat kakitangan sedia ada di kedainya yang terletak di Jalan Teluk Sisek, Hasnor memberitahu dia terpaksa menggajikan tiga lagi pekerja sambilan sejak dua minggu lepas.
Meskipun dengan keseluruhan tujuh kakitangan, katanya, dia hanya mampu menyediakan perkhidmatan detailing kepada kira-kira 30 buah kereta sahaja. – MalaysiaGazette