Lelaki yang dipercayai bapa kepada kanak-kanak itu gagal mengawal kemarahan dan bertindak menyerang pemandu wanita tersebut.

SEREMBAN – Seorang lelaki yang menumbuk pemandu wanita dalam insiden di Jalan Persiaran Senawang 4 dekat sini Sabtu lalu telah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, memaklumkan lelaki berusia 35 tahun itu ditahan ketika hadir ke balai polis untuk memberi keterangan.

“Tangkapan telah dibuat dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan kepada mangsa berusia 28 tahun yang mengalami lebam di rusuk kanan dan bengkak di belakang kepala.

“Siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan berhubung kerosakan terhadap kenderaan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, video kejadian itu tular di aplikasi TikTok, memaparkan lelaki terbabit menyerang pemandu wanita berkenaan kerana berang selepas anaknya dilanggar kereta yang dipandu mangsa.

Lelaki yang dipercayai seorang anggota tentera itu dikatakan menumbuk kepala mangsa dua kali.

Malah adik mangsa mendakwa kakaknya turut ditendang di bahagian perut.

Menurut Mohamad Hatta, kejadian berlaku sekitar 10.15 malam dan membabitkan sebuah Perodua Axia serta dua pejalan kaki iaitu seorang wanita berusia 34 tahun dan anak perempuannya berusia tujuh tahun.

“Siasatan awal mendapati pemandu Perodua Axia dalam perjalanan dari Mydin Senawang ke Senawang. Ketika tiba di lokasi kejadian, dua pejalan kaki itu tiba-tiba melintas jalan.

“Akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu tidak sempat mengelak lalu melanggar mereka,” jelasnya.

Mangsa kemalangan mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk rawatan lanjut.

Beliau menambah bahawa pihak polis turut menjalankan siasatan di bawah Kaedah 10, Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh memburukkan keadaan dan diingatkan untuk mematuhi undang-undang.

“Orang awam juga perlu lebih berhati-hati ketika melintas jalan, terutamanya di kawasan sesak, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here