Orang ramai membeli pelbagai barangan basah bagi membuat persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka esok.

KUALA LUMPUR – Pasar Datuk Keramat di sini pagi ini sesak dengan kehadiran warga kota yang berpusu-pusu membeli barangan keperluan menjelang Hari Raya Aidilfitri yang dijangka esok.

Tinjauan MalaysiaGazette di lokasi mendapati pengunjung mula memasuki pasar seawal jam 6.30 pagi bagi mendapatkan bahan mentah seperti ayam, daging, santan, ikan, sayur-sayuran serta rempah ratus untuk menyediakan juadah hari raya. 

Pengunjung, Mohd Hazirul Afiq, 30, berkata, pasar itu memang menjadi pilihan utamanya setiap kali membuat persiapan raya kerana kelengkapan barang yang ditawarkan.

Mohd Hazirul Afiq

“Kebiasaannya, kalau nak buat persiapan apa-apa, memang saya akan datang sini sebab banyak barang yang senang nak cari. Semua keperluan ada, jadi tak perlu pusing jauh-jauh.

“Kalau nak cari bahan segar seperti ayam, daging, santan atau bahan kering macam rempah, semua ada di satu tempat. Itu yang buat saya suka datang sini setiap kali nak raya,” katanya.

Dia yang berasal dari Negeri Sembilan menambah, keluarganya mempunyai tradisi memasak rendang kerbau setiap kali Aidilfitri namun mendapatkan bekalan daging kerbau bukan sesuatu yang mudah.

“Setiap kali raya, keluarga saya memang akan buat rendang kerbau. Masalahnya, daging kerbau susah nak dapat. Kebanyakan tempat hanya jual daging lembu biasa.

“Jadi, saya kena cari tempat yang betul-betul ada bekalan daging kerbau dan buat tempahan awal,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Aimi Nadiah, 39, berkata, persiapannya hampir siap sepenuhnya dan hanya perlu membeli beberapa barang tambahan.

Aimi Nadiah

“Saya sudah beli semua barang, hari ini cuma tambah sikit-sikit sahaja. Harga setakat ini berpatutan, semua barang senang dapat. Mungkin ada yang naik sikit tapi kalau dibandingkan dengan harga barang dapur yang lain, saya rasa masih berbaloi untuk beli di sini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Menurut Wan Hairulnisha Wan Hassan, 56,  suasana pasar yang meriah dengan hiruk-pikuk pelanggan bukan sesuatu yang asing baginya setiap kali menjelang Aidilfitri. 

Wan Harulnisha Wan Hassan

Walaupun tidak selalu berkunjung ke pasar berkenaan, dia mengambil kesempatan pada saat-saat akhir ini untuk melengkapkan keperluan dapur bagi menyambut lebaran bersama keluarga tercinta.

“Harga barang saya rasa stabil, tak ada masalah sangat. Malah ada barang yang lebih murah daripada tahun lepas. Contohnya, telur satu papan grade D boleh dapat RM5.60, memang susah nak dapat harga macam tu sebelum ini,” jelasnya.

Namun begitu, dia mengakui harga makanan yang telah siap dimasak lebih mahal berbanding membeli bahan mentah.

“Kalau beli barang mentah, tiada masalah. Tapi kalau beli lauk yang sudah siap masak, memang mahal sikit. Itu biasalah, sebab kos tenaga dan masa dah termasuk.

“Jadi, kalau nak jimat, memang kena masak sendiri,” katanya.

Peniaga, Mohd Arif Danial, 22, berkata, perniagaan santan yang diusahakan oleh keluarganya sudah bertapak sejak puluhan tahun lalu dan menjadi pilihan utama penduduk sekitar untuk mendapatkan bahan segar bagi penyediaan pelbagai juadah hari raya.

Mohd Arif Danial

Bagaimanapun, dia mengakui terdapat sedikit perubahan dalam trend pembelian pelanggan tahun ini.

“Dulu, pelanggan memang ramai, sampai sanggup beratur panjang nak beli santan segar. Tapi tahun ni, rasa macam kurang sikit sambutan. Walaupun macam tu, alhamdulillah masih ada pelanggan setia yang tetap cari santan segar untuk masakan raya,” katanya.

Tambahnya, kenaikan harga  santan memberi kesan kepada perniagaannya. Jika sebelum ini harga satu kilogram santan dijual sekitar RM6 kini ia meningkat kepada RM8 bagi menampung kos yang semakin tinggi.

“Kami terpaksa naikkan harga sebab harga kelapa sendiri makin mahal. Kalau ikut harga lama, memang kami yang rugi tapi, kami tetap cuba bagi harga yang berpatutan supaya pelanggan tak rasa terbeban,” katanya.

Sementara itu, peniaga lemang, Muhammad Zainuddin Nusal atau lebih dikenali sebagai Mat berkata permintaan lemang tahun ini masih ada namun tidak serancak tahun-tahun sebelumnya.

Muhammad Zainuddin

Bagaimanapun,  dia menegaskan lemang yang dijualnya menggunakan santan asli tanpa sebarang campuran air.

“Permintaan tetap ada, terutama daripada pelanggan tetap dan keluarga. Kami pastikan santan 100 peratus pekat, tiada campuran. Pelanggan pun boleh pilih sendiri dan kami akan buka depan mereka untuk pastikan kualiti terbaik,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here