Oleh: Prof. Madya Dr Haliza Abdul Rahman
BERAYA di kampung merupakan tradisi yang sangat penting bagi masyarakat Malaysia, terutama semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang. Walaupun terdapat banyak perubahan dalam cara perayaan dijalankan, budaya ini tetap menjadi satu elemen yang mendalam dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Namun, bagi generasi muda, pengalaman beraya di kampung kadang kala kurang mendapat perhatian berbanding generasi yang lebih
dewasa.
Budaya beraya di kampung membawa banyak manafaat, antaranya mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan komuniti kerana ia memberi peluang kepada generasi muda untuk
berinteraksi dengan sanak saudara dan jiran yang mungkin tidak dapat ditemui sepanjang tahun. Bagi keluarga yang tinggal berjauhan, seperti pasangan yang bekerja di bandar dan mempunyai ibu bapa di kampung, pertemuan setiap kali Hari Raya sangat penting untuk membina dan menjaga hubungan. Hal ini membantu mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan memberi peluang kepada generasi muda untuk berkenalan dengan saudara mara yang jauh.
Kajian yang dijalankan mendapati 70% daripada responden yang tinggal di bandar menyatakan mereka berasa lebih dekat dengan keluarga selepas beraya di kampung, terutamanya apabila mereka melakukan kunjung mengunjung dan berbual serta berinteraksi secara langsung dengan datuk, nenek dan sepupu sepapat.
Selain itu, beraya di kampung dapat memelihara tradisi dan adat kerana dengan beraya di kampung, generasi muda dapat melihat dan mempelajari adat resam yang diwarisi dari generasi ke generasi. Aktiviti seperti memasak juadah raya bersama, menziarahi rumah saudara mara dan jiran serta melakukan solat berjemaah memberi peluang untuk menghayati dan menghargai nilai-nilai tradisional yang kadang kala terabai di kawasan bandar.
Kajian Universiti Malaya mendapati 85% generasi muda yang beraya di kampung lebih memahami dan menghargai budaya dan adat perayaan berbanding mereka yang beraya di bandar. Hal ini kerana mereka lebih terdedah kepada amalan tradisi seperti menganyam ketupat, mengacau dodol, membakar bahulu dan membuat kuih raya secara beramai-ramai. Kajian oleh Institut
Kebudayaan Negara turut mendapati bahawa 85% responden yang merayakan Hari Raya di kampung lebih memahami dan menghayati tradisi Melayu, berbanding dengan mereka yang merayakan di bandar. Pendidikan dan pembelajaran tradisi merupakan antara faedah yang diperolehi. Hal ini kerana di kampung, golongan muda dapat mempelajari cara-cara memasak hidangan tradisional seperti rendang, ketupat atau lemang daripada generasi yang lebih tua. Ini tidak hanya mengekalkan tradisi masakan tetapi juga memberi peluang untuk pembelajaran antara generasi menghidupkan semula tradisi tersebut di bandar.
Kehadiran di kampung juga dapat meningkatkan kualiti sosial dan psikologi yang memberikan ketenangan jiwa dan memperbaiki hubungan sosial. Beraya di kampung juga memberi pengalaman yang lebih tenang dan damai berbanding dengan suasana bandar yang sibuk dan penuh tekanan. Banyak individu melaporkan perasaan lebih santai ketika pulang ke kampung halaman.
Di kampung, aktiviti sosial seperti berbuka puasa bersama-sama, bermain bunga api atau berjalan-jalan di tepi pantai membolehkan individu bertemu dengan rakan-rakan lama dan menjalin hubungan sosial yang lebih mesra. Generasi muda khususnya dapat merasakan kehangatan hubungan sosial yang lebih erat dan tidak terhad pada teknologi berbanding di bandar yang lebih fokus kepada gaya hidup sibuk dan dunia maya.
Menurut laporan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, 60% generasi muda yang merayakan Aidilfitri di kampung melaporkan peningkatan dalam kesejahteraan psikologi dengan kebanyakannya menyatakan bahawa mereka berasa lebih relaks dan bahagia berbanding beraya di bandar. Tinjauan oleh Malaysia Tourism Promotion Board mendapati lebih daripada 60% pelancong tempatan menganggap suasana kampung yang tenang sebagai daya tarikan utama untuk pulang beraya ke kampung selain mahu berjumpa dengan rakan-rakan lama dan menikmati suasana sosial yang lebih mesra.
Kehadiran perantau yang pulang ke kampung juga memberi manfaat ekonomi yang besar kepada komuniti. Sebagai contoh, perniagaan kecil seperti gerai makanan tradisional, penjualan buah-buahan kampung dan perkhidmatan pengangkutan mengalami lonjakan permintaan semasa musim perayaan. Laporan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar menunjukkan bahawa terdapat peningkatan 20% dalam aktiviti ekonomi di kampung-kampung selama musim perayaan terutamanya dalam sektor perkhidmatan dan makanan kerana ramai yang pulang ke kampung dan mencari makanan tradisional yang hanya dapat ditemui di kampung.
Perantau yang tinggal di bandar kebiasaannya pulang ke kampung untuk meraikan perayaan bersama keluarga tersayang. Hal ini dapat mengurangkan keseskan di kawasan bandar. Dengan ramai orang pulang ke kampung, bandar utama seperti Kuala Lumpur atau Johor Bahru menjadi lebih tenang. Ini memberi kesan positif kepada persekitaran bandar yang biasanya sibuk dan padat.
Data daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia menunjukkan bahawa semasa musim perayaan, terdapat pengurangan kira-kira 40% dalam kesesakan lalu lintas di bandar utama terutama pada malam sebelum Hari Raya kerana kebanyakan penduduk sudah bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing.
Malah, beraya di kampung juga memberikan peluang untuk menikmati keindahan alam semula jadi seperti berjalan di sawah padi, memancing atau mendaki bukit yang jarang dapat dinikmati di bandar. Menurut Kajian Pelancongan Tempatan Malaysia, lebih daripada 50% pelancong tempatan memilih untuk melibatkan diri dalam aktiviti rekreasi luar seperti ini ketika beraya di kampung.
Ringkasnya, beraya di kampung memberi banyak faedah daripada segi sosial, budaya, ekonomi hingga kesihatan mental. Ia bukan sahaja meningkatkan hubungan kekeluargaan tetapi juga menyokong pemeliharaan tradisi, ekonomi kampung dan memberi ketenangan yang jarang dirasai di bandar.
Penulis adalah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia