Exco Pemuda Amanah Nasional, Dr. Mohamed Nashrudin Naharudin.

KUALA LUMPUR – Pemimpin masyarakat perlu lebih bertanggungjawab dalam menangani isu-isu awam dan tidak terburu-buru mengeluarkan kenyataan tanpa memahami keseluruhan fakta.

Exco Pemuda Amanah Nasional, Dr. Nash Nahar berkata, keutamaan dalam kepimpinan haruslah berlandaskan kebenaran dan bukan sekadar mengejar populariti atau tekanan politik semata-mata.

Hal ini merujuk kepada dua isu yang menjadi perhatian baru-baru ini, iaitu tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap peniaga belon serta kontroversi kuil yang dibina tanpa geran.

“Tindakan sesetengah pemimpin yang segera membela pihak-pihak terlibat tanpa meneliti aspek peraturan boleh mengundang salah faham masyarakat dan tindak balas tidak rasional.

“Sekiranya dibiarkan berterusan, kedaulatan undang-undang akan menjadi sukar untuk ditegakkan kerana keputusan dibuat bukan lagi berdasarkan peraturan tetapi dipengaruhi tekanan politik dan emosi masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tugas utama seorang pemimpin adalah mendidik masyarakat dan bukan sekadar meraih sokongan melalui tindakan populis.

Beliau turut melahir kebimbangan terhadap sikap segelintir netizen yang mudah terpengaruh dengan naratif tidak tepat yang disebar melalui media sosial.

“Masyarakat kini berada dalam keadaan yang semakin tidak terkawal, dan penyebaran maklumat yang tidak tepat boleh mencetuskan kekeliruan serta ketegangan yang tidak sepatutnya berlaku.

“Oleh itu, pemimpin perlulah memainkan peranan dan kembali kepada tanggungjawab mereka untuk membimbing rakyat ke arah pemahaman yang lebih baik tentang sesuatu isu, bukan sekadar mencari keuntungan politik,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast