Keadaan peniaga belon dengan seorang lelaki dalam kejadian di Jalan TAR malam Jumaat lalu yang tular di media sosial.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merehatkan sementara (gantung tugas) tiga penguat kuasa yang terlibat dengan insiden yang berlaku di Jalan Tuanku Abdul Rahman, pada dua hari lalu melibatkan penjaja belon tanpa lesen.

Jelas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif ia bagi memberi laluan kepada siasatan dalaman DBKL dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijalankan secara bebas, telus dan menyeluruh tanpa sebarang campur tangan.

“Keputusan ini juga turut dibincang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, DBKL tidak akan berkompromi dengan salah laku kakitangannya sekiranya didapati bersalah terutama yang menjejaskan integriti dan kepercayaan awam terhadap institusi penguatkuasaan.

“DBKL kekal berprinsip untuk menegakkan tadbir urus yang berintegriti, bertanggungjawab dan berteraskan prinsip keadilan kepada semua pihak.

“Sebarang keputusan akan ditentukan setelah siasatan penuh selesai,” katanya lagi.

Sementara itu beliau memaklumkan Pengarah Eksekutif (Sosio Ekonomi) dan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan mewakili DBKL telah menziarahi penjaja belon itu, Muhamad Za’imuddin Azlan yang kini sedang menerima rawatan di hospital.

Dalam masa yang sama katanya, pihaknya turut mempertimbangkan untuk menanggung kos rawatan beliau sepanjang tempoh rawatan.

“…Tertakluk kepada semakan lanjut dan keperluan perubatan semasa,” ujarnya.

Sehubungan itu Maimunah menyeru semua pihak supaya tidak membuat spekulasi bagi memberi ruang pihak berwajib menjalankan siasatan terperinci.

Terdahulu, tular menerusi video seorang penjual belon dikasari penguat kuasa DBKL dipercayai menjalankan aktiviti tanpa lesen di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Menerusi rakaman yang tular, beberapa orang penguat kuasa DBKL dilihat menumbangkan seorang lelaki yang membawa belon hingga menimbulkan suasana kecoh.

Kemudian, DBKL menerusi kenyataan memaklumkan, penjaja belon berkenaan bertindak agresif apabila ditegur buat kali ketiga sehingga berlaku sentuhan fizikal.

Difahamkan kini sedang dirawat di sebuah hospital kerajaan di Serdang kerana berkemungkinan mengalami kecederaan patah tulang.

Media turut melaporkan polis telan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan.

Selain itu, polis turut merakam keterangan lima saksi berhubung kejadian itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here