JELEBU – Setiap kali Syawal menjelma, ada sahaja kuih raya moden baharu di pasaran dengan nama unik termasuk yang diinspirasikan daripada nama selebriti mahupun siri drama popular.
Biar pun lambakan juadah moden namun ia tidak mengancam kedudukan kuih tradisi seperti tart nanas, gunting kelapa, bijan, makmur dan bahulu kerana keaslian rasa yang dimiliki.
Maka tidak hairanlah kuih tradisi seperti tart nanas di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Jelebu, Negeri Sembilan mendapat permintaan tinggi daripada para penggemarnya.
Pengarahnya, Norasiken Ahmad berkata, ia bermula apabila jualan kuih itu di Bakeri Titi Gold diusahakan oleh klien pusat pemulihan dan penjualan semakin meningkat sebanyak RM32,000 setahun pada 2023.
“Pada 2024 pula, kita telah mencapai RM34,000, untuk tahun ini sehingga Mac termasuk yang sedang diproses serta membeli adalah RM33,000.
“Alhamdulilah tahun ini kita target capai jualan RM45,000 dengan hanya bermodal dari Akaun Amanah RM13,000 sahaja.
“Pemprosesan nanas kita bermula dengan lebih 25 ekar penanaman buah jenis MD2 dan Yankee yang digunakan untuk penghasilan inti nanas secara handmade iaitu memarut nanas itu bagi memastikan kualitinya kekal terjamin.
“Keistimewaan (kuih) kita adalah inti nanas atau inti produk yang lain tahan setahun dan kuih muih boleh tahan enam hingga tujuh bulan kerana menggunakan bahan premium serta tanpa sebarang bahan pengawet, memang kita mahu kekalkan kualitinya,” katanya ketka ditemui pemberita.

Selain tart nanas yang menjadi produk utama, Bakeri Titi Gold turut menghasilkan tart blueberry, rossel, nyonya dahlia dan strawberi, termasuk cookies red velvet dan chocolate chip.
Tambah Norasiken, kesemua inti yang dihasilkan adalah daripada tanaman sendiri yang diusahakan oleh klien di bawah pemantauan pelatih di pusat pemulihan itu.
Malah harga kuih yang ditawarkan kepada pelanggan adalah lebih murah hanyat RM30 hingga RM35 sebekas yang mengandungi 50 biji tart mengikut pelbagai jenis perisa.
“Di sini bukan ingin mencari keuntungan semata-mata, kita terapkan aspek kepulihan kepada klien kita menerusi pelbagai kemahiran seperti keagamaan, kaunseling, vokasional dan sebagainya.
“Menerusi kemahiran vokasional seperti membuat kuih ini wuju elemen kesabaran, displin terutama dalam pembuatan tart nanas ini, jika tiada kesabaran maka kuih itu tidak akan jadi sesedap seperti ini dengan saiz yang sama tanpa guna bahan cetak.
“Bagi saya, ia bukan satu perkara yang mudah dan mereka juga boleh gunakan kemahiran ini apabila berada di luar nanti sebagai jana pendapatan seperti sebelum ini ada bekas klien sudah menjadi usahawan hasil kemahiran yang dia belajar,” ujarnya.
Bagi memenuhi permintaan tart di bakeri itu terutama menjelang Aidilfitri, Norasiken berkata, pihaknya akan menambah sehingga 10 orang dan bekerja lebih masa dari 7.30 pagi hingga 6 petang demi menyiapkan tempahan. – MalaysiaGazette