KUANTAN – Tiga maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 50.7 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah Kuantan, berhampiran Kampung Lentang, Bentong, petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan yang melibatkan sebuah lori lima tan, Honda Accord, Proton Waja, Proton Saga dan sebuah kenderaan jenis Subaru pada pukul 4.55 petang.
“Terdapat seorang lelaki dan dua wanita dewasa yang meninggal dunia di dalam Honda Accord dan kematian mereka telah disahkan oleh petugas Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata, pihak bomba mengeluarkan semua mangsa menggunakan peralatan khas sebelum menyerahkan mereka kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Tiga lagi mangsa dalam Honda Accord, iaitu seorang wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan, mengalami kecederaan.
“Mereka telah diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Bentong,” katanya.
Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong terlibat dalam operasi menyelamat. – Bernama