KUALA LUMPUR – Pelakon dan model, Malek McCrone, menyambut Aidilfitri dalam suasana berbeza selepas kehilangan ibunya, Allahyarham Aishah Adam, akibat kanser tahun lalu.
Kini, Malek, 31, memikul tanggungjawab menjaga dua adiknya, termasuk seorang adik perempuan yang menghidap sindrom Down.
“Kami kehilangan ibu yang selama ini menjadi ibu dan ayah buat kami.
“Namun, saya akan pastikan adik-adik tetap gembira beraya,” katanya.
Bagi memastikan kebajikan adiknya terjaga, Malek telah mendapatkan pembantu rumah supaya dia dapat bekerja tanpa risau.
“Saya sudah latih adik perempuan saya menghadapi kehilangan ibu sejak setahun sebelum ibu meninggal.
“Jadi, bila tiba masanya, dia sudah bersedia. Sebelum inipun, ibu saudara kami telah meninggal dunia akibat kanser dan saya sudah menerangkan perkara itu kepadanya,” tambah Malek.
Untuk mengubati kerinduan, Malek akan memasak rendang kerang, menu kegemaran arwah ibu mereka supaya adik-adik tidak terlalu merasa kehilangan.
Aidilfitri kali ini, pelakon berdarah kacukan Melayu-Kanada itu akan pulang beraya ke kampung ibunya di Selandar, Melaka. – MalaysiaGazette