KUALA LUMPUR – Isu peniaga belon atau lebih mesra dipanggil Abang Belon yang dikasari petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus hangat diperkatakan, namun dakwaan kononnya beliau sudah ditegur sebanyak tiga kali sebelum insiden itu berlaku masih menimbulkan tanda tanya.
Naib Ketua Bersekutu, Datuk Sri Sanjeevan mempersoalkan kebenaran dakwaan tersebut, lebih-lebih lagi apabila cerita berbeza mula berlegar di media sosial.
“Saya tengok ada juga ‘machai’ yang kata Abang Belon ini dah ditegur sebelum kena belasah. Tapi peliknya, kenapa sampai beberapa orang penguat kuasa bergelut dengan seorang lelaki kecil macam dia?
“Ramai dah tengok video tular tu, ada nampak ke sesiapa datang tegur dia? Yang kita nampak cuma dia dikasari sampai cedera. Lepas tu, masih ada lagi pihak nak bela tindakan kasar macam tu? Tak masuk akal langsung,” katanya hari ini.
Sanjeevan turut menyelar tindakan segelintir pihak yang cuba mempertahankan kekasaran tersebut dengan menyalahkan peniaga belon berkenaan hanya kerana dia tidak memiliki lesen perniagaan.
“Salah tetap salah. Tak ada lesen memang salah, tapi adakah wajar dia diperlakukan macam penjenayah besar? Sampai tulang patah, terus nak tuding jari kepada peniaga kecil tu. Tak ada langsung rasa bersalah atau kesal dari pihak berkuasa?
“Cukuplah, sepatutnya tiga penguat kuasa tu tampil memohon maaf secara terbuka. Belajarlah daripada kesilapan dan jangan buat rakyat muak dengan alasan demi alasan. Bila jadi pembangkang, cakap bukan main lagi, tapi bila dah dapat kuasa, mana kejujuran yang dilaungkan?” tegasnya.
Dalam pada itu, Sanjeevan turut mempersoalkan tindakan DBKL yang seolah-olah ‘berat sebelah’ dalam isu penguatkuasaan undang-undang.
Beliau mempertikaikan kenapa pihak berkuasa begitu tegas terhadap peniaga kecil tetapi masih gagal menyelesaikan isu yang lebih besar seperti kebanjiran peniaga warga asing di Pasar Borong Selayang.
“Kenapa DBKL belum bersihkan Pasar Borong Selayang yang sudah ‘dijajah’ oleh peniaga warga asing?
Adakah mereka ini kebal undang-undang? Kenapa hanya peniaga kecil yang menjadi sasaran? Rakyat nak tahu apa tindakan DBKL dalam isu ini,” soalnya. -MalaysiaGazette
Abang belon nafi ditegur tiga kali, nak jumpa mereka pun saya takut