PUCHONG – Kebakaran besar melibatkan saluran paip milik Petronas di Seksyen 13, Ultra Harmony, Putra Heights pagi ini menyebabkan 112 penduduk terjejas manakala 49 rumah mengalami kerosakan.
Menurut Timbalan Ketua Polis Selangor, Mohd Zaini Abu Hassan, kejadian itu dikesan pada jam 8.10 pagi sebelum laporan polis diterima pada jam 8.20 pagi.
Serentak itu, pihak berkuasa berkenaan menggerakkan pasukan bersama Jabatan Bomba bagi mengenal pasti situasi sebenar dan memastikan keselamatan penduduk.
Beliau menjelaskan, operasi menyelamat menjadi keutamaan sebelum pihak teknikal menilai punca kejadian.
“Sejurus menerima laporan, pasukan bomba dan penyelamat bersama pihak polis, Jabatan Kesihatan, Petronas, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), dan pasukan perubatan segera dikerahkan ke lokasi bagi mengawal kebakaran dan membantu mangsa.
“Setakat ini, 63 orang mangsa telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut, sementara selebihnya diberikan rawatan awal di pusat perubatan sementara yang didirikan berdekatan lokasi kejadian,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Dalam kejadian itu, sebanyak 37 rumah di Taman Harmony dan 10 rumah di Kampung Sungai Baru mengalami kerosakan.
Punca kebakaran masih dalam siasatan, dengan pasukan teknikal dari Petronas serta agensi berkaitan sedang menilai faktor yang mungkin menyumbang kepada kejadian ini.
Mohd Zaini menegaskan keselamatan penduduk adalah keutamaan dan meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai.
Pihaknya juga memberi jaminan bahawa perkembangan lanjut mengenai insiden ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette