Peguam Rafique Rashid Ali (dua kiri) bersama Pegawai Perubatan Swasta, Dr Mohd Hafidz Rizal (kiri) bercakap pada sidang media insiden kekasaran melibatkan anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Foto MUHAIMIN MARWAN, 6 APRIL 2025

KUALA LUMPUR – ‘Abang Belon’ berisiko lumpuh kekal kerana kecederaan teruk pada saraf tulang belakang toraks ekoran dihempap penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), minggu lalu.

Pegawai perubatan swasta, Dr. Mohd Hafidz Rizal Amran berkata, mangsa atau nama sebenarnya Muhamad Za’imuddin Azlan, sudah mula merasai kebas pada anggota badannya kerana tulang berkenaan sudah kemek.

Reaksi Muhammad Zaimuddin, 28 dikenali sebagai ‘Abang Belon’ tidak dapat menahan kesedihan pada sidang media insiden kekasaran melibatkan anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Foto MUHAIMIN MARWAN, 6 APRIL 2025

Menurut doktor berkenaan, ekoran itu sarafnya akan terkepit dan tercedera yang boleh menyebabkan lumpuh.

“Dalam tempoh 48 hari, penjagaan secara ketat harus dilakukan dan dia tidak boleh bergerak cergas kerana tulangnya sudah kemek dan keadaannya sangat rapuh, kalau silap sikit sahaja dia boleh lumpuh.

“Kalau ditanya skor kesakitan yang dialaminya di antara satu hingga 10, mangsa menanggung kesakitan pada tahap lapan kerana ia bukan hanya melibatkan tulang, malah kiri dan kanan saraf.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/04/06/mengapa-saya-dikasari-sebegitu-rupasaya-jual-belon-bukan-jual-dadah/

“Apa yang paling tidak mahu adalah lumpuh dan dia perlu memakai `cast’ untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan mengikut amalan di hospital,” ujarnya.

Mohd. Hafidz menyatakan demikian kepada wakil media ketika merujuk kepada laporan perubatan yang dikeluarkan oleh Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang yang merawatnya.

Menurut beliau, antara komplikasi lain yang dialami ialah pesakit akan sukar mengawal kencing dan proses pembuangan air besar.

Doktor berkenaan turut berkata, Muhamad Za’imuddin tidak dapat menjalani pembedahan hernia seperti yang dijadualkan pada 18 April ini kerana mengalami kecederaan saraf tulang belakang toraks yang dialaminya.

Kata beliau, laporan perubatan penuh dijangka siap dalam tempoh 40 hari dan ia sah untuk dikemukakan di mahkamah.

Menurutnya, Muhamad Za’imuddin turut menerima cuti sakit selama 48 hari untuk tempoh pemulihan yang menunjukkan tahap keseriusan kecederaan yang dialaminya.

“Kalau demam biasa, doktor akan beri cuti sakit selama tiga hingga tujuh hari, namun kecederaan ini serius yang boleh menyebabkan mangsa lumpuh.

“Dalam tempoh itu, dia tidak boleh buat kerja berat dan tidak boleh jual belon dah selepas ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here