KOTA BHARU – Dua remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung dengan sebuah motosikal dari arah bertentangan dalam kejadian di Jalan Kutan, Tumpat, pada 12.15 tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tumpat, ACP Mohd Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua remaja berusia 17 dan 16 tahun itu sedang dalam perjalanan dari arah Pasir Pekan menuju Pasir Mas.
“Mereka dipercayai melakukan aksi berbahaya dengan mengangkat tayar hadapan motosikal sambil memotong sebuah kereta.
“Tindakan itu menyebabkan mereka memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 53 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat perlanggaran itu, kedua-dua penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Tumpat.
Mohd Khairi berkata, mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat, sementara pembonceng yang turut cedera parah pada bahagian kaki telah dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan lanjut.